Malaysia Dateline

AS sedia keluarkan Sudan daripada senarai penaja keganasan

Amerika Syarikat (AS) mengulangi kesediaan negara itu untuk memulakan proses mengeluarkan Sudan daripada senarai penaja keganasan, menurut agensi berita Xinhua.

“Sudan akan disingkirkan daripada senarai itu jika semua kriteria ditetapkan dipenuhi termasuk enam bidang utama dalam kerangka kerja Fasa II,” kata Kuasa Usaha AS Steven Koutsis pada sidang akhbar di sini Selasa.

Justeru itu katanya, AS melancarkan rangka kerja ‘Fasa II’, yang direka untuk memperluaskan kerjasama, memudahkan pembaharuan di Sudan dan mencapai kemajuan dalam beberapa bidang yang menjadi kebimbangan bersama, katanya.

AS terus komited menjalinkan hubungan yang positif dengan Sudan untuk mencapai matlamat bersama berdasarkan persefahaman dan penghormatan.

AS percaya Fasa II berpotensi menjadikan hubungan AS-Sudan lebih produktif berbanding 30 tahun, kata Koutsis.

Fasa II antaranya termasuk memperluaskan kerjasama anti-keganasan, mempertingkatkan perlindungan dan amalan hak asasi manusia, meningkatkan akses kemanusiaan di seluruh Sudan dan menghentikan permusuhan dalaman untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.

— BERNAMA