Malaysia Dateline

AS sedia tingkat komunikasi, koordinasi dengan China soal Korea Utara

Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan China berkaitan isu Korea Utara, kata diplomat AS kepada Beijing melalui panggilan telefon pada Jumaat lalu selepas Presiden AS Donald Trump bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un minggu lalu, lapor South China Morning Post.

Panggilan kepada Naib Menteri Luar Negeri China, Luo Zhaohui telah dibuat oleh wakil khas AS ke Korea Utara, Stephen Biegun, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri China.

Dalam kenyataan itu, Luo menyatakan bahawa perhubungan antara China dan AS berkaitan semenanjung Korea adalah kunci utama untuk mempromosikan perbincangan aman dan China menyokong AS dan Korea Utara dalam memastikan ruang-ruang komunikasi sentiasa terbuka.

Tambah kenyataan tersebut, “Kami berharap kedua-dua belah pihak akan berjumpa dan meneruskan konsultasi di pelbagai peringkat secepat mungkin, berdasarkan konsensus yang dipersetujui oleh kedua-dua negara (AS dan Korea Utara).”

Panggilan tersebut terjadi selepas beberapa peristiwa yang menyumbang kepada keadaan kondusif untuk memulakan semula rundingan antara AS dan Korea Utara berkaitan usaha denuklearisasi, terutama selepas sidang kemuncak antara Trump dan Kim di Hanoi pada bulan Februari dibatalkan.

Ketika pertemuan antara Trump dan Kim di Panmunjom, zon demilitarisasi yang memisahkan Korea Utara dan Selatan, Trump menyatakan kedua-dua negara akan menghantar pasukan rundingan untuk berbincang soal program nuklear Korea Utara dalam jangka masa dua ke tiga minggu.

Trump turut menambah bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk melihat hasil rundingan tersebut dan menyatakan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara masih digunapakai.

Presiden China, Xi Jinping turut tidak terkecuali dalam menyumbang kepada promosi perbincangan aman di antara AS dan Korea Utara ini.

Selepas lawatan rasmi beliau ke Pyongyang bulan lepas, di mana beliau telah menyatakan sokongan kepada soal keselamatan dan pembangunan Korea Utara, Xi turut memberitahu kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bahawa Pyongyang komited dalam usaha denuklearisasi dan China bersedia untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.