Malaysia Dateline

Donald Trump

AS undur tentera dari Syria “dalam tempoh tertentu”

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata tentera negara itu akan berundur dari Syria “dalam tempoh tertentu,” sekali gus menolak laporan sebelum ini berhubung pelan keluar yang memakan masa selama empat bulan, lapor agensi berita China Xinhua.

“Dalam tempoh tertentu. Saya tidak pernah berkata bahawa saya akan keluar esok,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih dalam satu mesyuarat kabinet ketika disoal jika terdapat satu jadual bagi langkah pengunduran itu.

Trump menafikan laporan New York Times sebelum ini yang menyebut bahawa pihak ketenteraan AS telah diberikan masa kira-kira empat bulan untuk mengundurkan 2,000 anggotanya dari negara yang terjejas akibat peperangan itu.

Pentadbiran Trump telah mengumumkan pada 19 Dis bahawa ia akan mula menghantar pulang tentera AS dari Syria selepas mendakwa mencapai kemenangan dalam perjuangan menentang Daesh.

Media AS memetik kenyataan para pegawai yang enggan dikenali bahawa AS telah merancang mengundurkan tenteranya secara pantas dan sepenuhnya dari Syria.

Trump sendiri minggu lepas telah dilihat seolah-olah menarik balik kata-kata beliau menerusi akaun Twitter, dan mendakwa bahawa AS secara “perlahan-lahan” mengundurkan tenteranya dari Syria.

Ketika ini, terdapat lebih 2,000 tentera AS yang dihantar bertugas di Syria.

— BERNAMA