“Asalkan keutamaan dia anak-anak” – Shuib akui tak cemburu isteri lagi popular

Oleh MAISARAH AISYA

Sentiasa menyokong isteri dalam apa sahaja perkara, pelawak Shuib akui tidak pernah merasa cemburu apabila Watie Hanifiah dikatakan lebih popular kini.

Malah Shuib mengakui gembira akan rezeki diterima isterinya itu dan menghormati minat isteri yang memang minat bekerja.

Menurut Kosmo! Online, Shuib memaklumkan bahawa rezeki Watie selepas berkahwin adalah lebih banyak.

“Betul juga, populariti dia (Watie) melebihi saya sekarang. Tapi, baguslah untuk pendapatan keluarga kami dan memang benarkan dia bekerja.

“Malah, saya rasa dia sendiri juga mengakui yang lepas berkahwin rezeki dia lagi banyak, termasuk dapat bantu banyak untuk keluarganya sendiri, saya nampak semua itu.

“Saya juga tak menghalang untuk dia cari pendapatan sendiri. Dia pun memang suka bekerja,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama Shuib menetapkan batas agar isterinya tidak mengenepikan hal keluarga khususnya anak-anak.

“Saya memang sokong tetapi ada tetapkan beberapa perkara yang dia boleh atau tidak.

“Watie perlu tahu had bekerja serta apa fokus sebenar tetapi, sekarang ini saya lihat dia masih boleh seimbangkannya dan tetap fokus utamanya tetap kepada anak-anak.

“Apabila reviu produk semua ini, ada masanya dia perlu hasilkan konten untuk media sosial dan itu komitmen dia setiap bulan. Cuma setakat ini, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Baca juga: Setahun buat kerja hantar parcel, suri rumah seronok mampu raih RM7,000 sebulan