“Asalkan saya cari rezeki yang halal” – Fattah Amin tak kisah digelar tauke kambing

Oleh MAISARAH AISYA

Nama pelakon Fattah Amin semakin naik usai kolaborasi bersama Pak Mat Western untuk promosi produk mereka di media sosial.

Tidak kekok untuk menjual barangan, namanya sebelum ini menjadi perhatian selepas berniat mahu memberikan keseluruhan komisen jualan untuk diinfak kepada mereka yang memerlukan.

Semasa sesi siaran langsung produk kambing perap semalam, Fattah dilihat tidak kisah dipanggil tauke kambing.

Jelasnya dia kerap menerima soalan sama ada dia menjual kambing atau tidak malah dipuji sebab jualan laku keras.

“Mereka puji sebab jual kambing perap laku. Sehingga hari ini, saya pergi mana-mana, orang ingat saya kini jual kambing perap sepenuh masa,” katanya dalam live di TikTok.

Pada masa sama dia tidak mengambil kisah akan pandangan orang kerana baginya dia hanya mencari rezeki yang halal.

“Tapi saya tak kisah. Asalkan saya cari rezeki yang halal. Jangan kisah apa yang orang fikir. Kena jual kambing, lembu atau ayam, tak mengapa, asalkan penting saya cari rezeki,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fattah memaklumkan tugasnya adalah untuk membantu menaikkan jumlah tontonan dan jualan.

Namun Fattah juga risau sekiranya dia muncul terlalu kerap semasa ‘live’ akan menyebabkan orang ramai menjadi bosan dengannya.

“Ini adalah sesi siaran langsung terakhir saya. Saya takut anda bosan tengok saya ‘live’ kerap sangat. Nanti ada pula yang kata, ‘tak payah la tengok lagi, asyik-asyik Fattah je,” ujarnya.

Baca juga: Pernah berlakon dalam filem Munafik 2, ramai sedih keadaan terbaru Roslan Saleh