Malaysia Dateline

Asap debu Gunung Sinabung diramal masuki ruang udara Malaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan asap debu gunung berani Sinabung memasuki ruang udara negara di utara dan timur Semenanjung Malaysia mulai malam ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, keadaan tersebut boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras ketinggian 1,500 hingga 5,000 meter.

Bagaimanapun, beliau berkata, letusan gunung berapi itu tidak akan menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia meskipun asap debunya menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

Sehubungan itu, Jailan berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara di negara ini.

“Tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara kita akibat letupan gunung berapi tersebut.

“Keadaan semasa IPU di seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa (baik dan sederhana),” katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia kembali meletus pada 11.37 pagi tadi.