Asap hitam berkepul dari kubah putih Masjid JIC – Ini sejarah pusat pelacuran terbesar di Asia Tenggara

Oleh ARIF ATAN

Asap hitam berkepul dari kubah putih Masjid Raya Jakarta Islamic Centre (JIC) di Jalan Kramat Jaya Raya, Jakarta Utara akibat dijilat api pada 3.24 petang semalam, lapor Kompas.com.

Pihak bomba tempatan memaklumkan sebanyak 20 unit jentera dikerah ke lokasi untuk memadam kebakaran di masjid yang dirasmikan pembukaannya pada tahun 2003 itu.

Masjid JIC yang disifatkan sebagai simbol keberhasilan perubahan hitam ke putih struktur sosial itu mampu menampung hingga sebanyak 20,680 jemaah dalam satu-satu masa.

JIC dirancang oleh arkitek Ir Muhammad Numan di atas tanah seluas 109,435 meter persegi dengan luas bangunan masjid mencecah 2,200 meter persegi.

Sebelum menjadi Pusat Kajian dan Pengembangan Islam di Jakarta, lokasi JIC merupakan kawasan pelacuran terbesar di Asia Tenggara yang digelar Kramat Tunggak antara tahun 1970 hingga 1999.

Pada mulanya, Kramat Tunggak berperanan sebagai pusat pemulihan sosial oleh Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta ketika itu, Ali Sadikin.

Pekerja seks di Jakarta yang kebanyakannya dari Pasar Senen, Kramat, dan Pejompongan ditempatkan di pusat pemulihan itu.

Pada 1990-an, direkodkan bahawa Kramat Tunggak didiami lebih 2,000 pekerja seks dengan pengawasan 258 pencari pelacur untuk pelanggan atau dipanggil ‘mucikari’ selain 800 penjaja dan 155 pemandu teksi motosikal.

Walau bagaimanapun, tempat itu sebaliknya menjadi lokasi berkumpulnya para pekerja seks dan tumpuan ‘mucikari’ memujuk para pekerja seks supaya kembali bekerja sebagai wanita penghibur.

Akibatnya, kewujudan pusat pemulihan atau istilahnya, Lokalisasi Rehabilitasi Sosial (Lokres) itu membuatkan penduduk di sekitarnya tidak selesa dan menuntut pihak berkuasa menutup Kramat Tunggak.

Akhirnya, pada tahun 1999, atas perintah Gabenor Sutiyoso, akhirnya Lokres Kramat Tunggak ditutup dan JIC dibangunkan di atasnya.

Baca juga ‘Buatlah masa gaji, rasa macam tak balik mengundi’ – Ramai mengeluh buang undi ketika poket kering

Baca juga Ular muncul depan cermin kereta, netizen pun sama rasa seram