Malaysia Dateline

Kejatuhan nilai ringgit menyuramkan ekonomi negara.

Asas kukuh bantu pasaran kewangan harungi ketidaktentuan

Di sebalik pergolakan yang berlaku dalam arena politik tanahair, rutin harian rakyat Malaysia tetap berjalan seperti biasa seolah-olah tidak terkesan oleh kemelut yang berlarutan sejak Ahad lepas.

Percubaan untuk melakukan pengaturan semula politik negara itu telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Isnin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga meletakkan jawatan dan kemudiannya dilantik semula sebagai perdana menteri interim.

Susulan perkembangan politik ini, indeks utama Bursa Malaysia jatuh 2.68 peratus atau 41.14 mata kepada 1490.06 mata pada Isnin merekodkan paras terendahnya sejak Disember 2011.

Bagaimanapun, apabila sesuatu yang negatif berlaku, selalunya akan turut ada sisi positifnya.

Meskipun kemelut politik ini, pasaran kewangan kita terus berfungsi dengan cekap disokong mudah tunai yang besar.

Rizab asing kekal berdaya tahan dan asas kita juga kekal kukuh.

“Pasaran kewangan Malaysia terus berfungsi cekap dengan mudah tunai yang besar meskipun perkembangan mutakhir yang berlaku dalam negara,” kata Bank Negara Malaysia semalam, yang memberi jaminan bahawa terdapat mudah tunai yang mencukupi dalam negara untuk perniagaan terus beroperasi.

Walaupun dibuka rendah pada Selasa dan hari ini (Rabu), indeks utama FBM Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan daya tahannya dengan melantun semula pada sesi tengah hari dan kekal berada di segmen positif sehingga sesi penutup.

Pada rehat tengah hari ini, FBM KLCI merekodkan 1,505.73, naik 15.67 mata sejak penurunan pada Isnin, disokong oleh prestasi menggalakkan saham-saham indeks utama.

Perlu dinyatakan bahawa pada masa ini, petunjuk pasaran utama, seperti Dow Jones Industrial, Nikkei Jepun, KOSPI Korea Selatan, Straits Times Singapura dan Hang Seng Hong Kong, semuanya mencatatkan penurunan disebabkan kebimbangan terhadap situasi kesihatan yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.

Dow Jones menyusut 3.03 peratus selepas jatuh 879.44 mata kepada 27,081.36, Nikkei turun 0.92 peratus kepada 22,397.59, KOSPI berkurangan 1.07 peratus kepada 2,081.14, Hang Seng jatuh 0.49 peratus kepada 26,397.59 dan Straits Times turun 0.94 peratus kepada 3,128.57.

Walaupun hanya perdana menteri interim, negara terus kekal berfungsi dengan penjawat awam menjalankan tugas mereka seperti biasa.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali mempengerusikan mesyuarat khas dengan semua ketua setiausaha kementerian bagi memastikan perkhidmatan awam berjalan lancar seperti biasa.

Mohd Zuki berkata mesyuarat itu diadakan bagi memastikan kesinambungan perancangan dan pelaksanaan dasar kerajaan untuk manfaat rakyat dan negara.

Malaysia sekali lagi membuktikan ia merupakan sebuah negara matang sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum 2018 dengan PH mengalih alih pentadbiran kerajaan setelah 60 tahun ditadbir Barisan Nasional (BN).

Bagi pasaran kewangan dan saham, ketika wujud saranan agar kerajaan mengurangkan pegangan supaya kecairan kewangan dalam pasaran modal dapat ditingkatkan, namun pegangan ini sebaliknya merupakan kunci kepada kestabilan yang dapat mengelakkan turun naik lebih ketara dalam pasaran.

Penganalisis memberitahu Bernama bahawa keadaan pasaran ekuiti susut lebih 30 peratus sekali gus mendorong penampan kejatuhan dilaksanakan adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.

Ini memandangkan kerajaan memegang hampir 65 peratus daripada pasaran tempatan, serta saham majoriti dalam syarikat-syarikat besar yang mempunyai pengaruh utama ke atas Indeks Komposit, katanya.

Antaranya Maybank dan Sime Darby Plantation, yang dikaitkan dengan Permodalan Nasional Bhd — satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia — selain Tenaga Nasional, CIMB, IHH dan Axiata yang sama dikaitkan dengan dana kekayaan negara, Khazanah Nasional.

Semua kaunter itu, yang menyumbang 53.48 mata kepada keseluruhan Indeks Komposit, mempunyai kaitan langsung dengan dana berkaitan kerajaan.

Tidak dinafikan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, krisis kesihatan berikutan COVID-19, serta perkembangan di AS, memberi kesan ke atas pasaran walaupun tidak begitu teruk.

Perkembangan politik, serupa dengan di Malaysia, yang berlaku di beberapa negara lain menyaksikan kerajaan itu mengalami pemberontakan dan rusuhan malah pasaran mengalami kejatuhan mendadak.

Sebaliknya situasi demikian tidak berlaku di Malaysia susulan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mencari penyelesaian terbaik untuk menangani situasi politik semasa negara.

Baginda mengambil masa yang singkat untuk membuat penilaian menyeluruh sebelum menentukan sebarang keputusan serta melaksanakan tanggungjawabnya.

“Saya harap kita akan dapatkan penyelesaian yang terbaik,” titah baginda selain berkenan menerima mengadap dan menemu bual semua 222 anggota Parlimen untuk menilai sendiri situasi tersebut seterusnya menentukan yang terbaik untuk negara.

Tanpa menjangkakan apa yang seterusnya akan berlaku dalam beberapa hari akan datang, kesemua program yang telah dirancang akan dilaksanakan seperti dijadualkan.

Ini termasuk Dasar Automotif Nasional 2020, pemecutan rangkaian 5G dan Pelan Anti-Rasuah Nasional selain pakej rangsangan ekonomi yang amat dinanti-nantikan.

Paling penting, Malaysia dapat menguruskan dan membendung kes COVID-19, menangani isu itu secara jauh lebih baik berbanding beberapa negara maju lain, dengan sikap dedikasi dimiliki profesional kesihatan di Kementerian Kesihatan.

Semuanya telah diperkatakan, memetik ungkapan tokoh wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin, “siapa yang membayangkan bahawa satu hari Malaysia akan ditadbir oleh seorang Perdana Menteri Interim berusia 94 tahun, dengan perkenan seorang raja yang bijaksana dan warga penjawat awam?.”– BERNAMA