ASDI umum agihan pendapatan 1.0 sen seunit

ASDI umum agihan pendapatan 1.0 sen seunit

Amanah Saham Darul Iman (ASDI) mengumumkan pengagihan pendapatan tunai sebanyak 1.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2019 berbanding tiada agihan pada tahun lepas.

ASDI dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengagihan tersebut berdasarkan jumlah pendapatan yang direalisasikan (sehingga 30 Oktober 2019) sebanyak RM4.98 juta yang bersamaan 1.04 sen seunit berbanding RM2.36 juta dan bersamaan 0.49 sen seunit bagi tempoh sama tahun lepas.

“Agihan pendapatan ini akan melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM4.78 juta dan merupakan pulangan sebanyak 3.86 peratus berdasarkan nilai tabung seunit RM0.2587 pada awal tahun kewangan ini.

“Pengagihan pendapatan ini akan dibuat berdasarkan pemegang unit berdaftar pada 31 Okt 2019 dan akan dilaksanakan pada bulan Dis 2019 dengan dikreditkan terus ke akaun pemegang unit,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu pemegang unit yang masih belum mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing diminta berbuat demikian dengan segera dan menghubungi pihak ASDI di talian 09-6220 999 untuk maklumat lanjut.

ASDI merupakan tabung unit amanah berteraskan syariah yang dilancarkan pada 31 Okt 1994 dengan saiz tabung yang diluluskan berjumlah 500 juta unit.

Sehingga Okt 2019, kedudukan jumlah langganan unit ialah sebanyak 478.49 juta unit yang melibatkan 20,970 pelabur.

Sepanjang tempoh penubuhannya ASDI telah membuat agihan pendapatan berjumlah 85 sen (74.50 sen agihan tunai dan 10.50 sen agihan unit) kepada semua pemegang unit dan menjadikan purata agihan pendapatan setahun adalah 3.40 sen seunit.– BERNAMA