Malaysia Dateline

Asean catat kemajuan bagi pelaksanaan pelan induk AEC 2025

ASEAN telah mencatat banyak kemajuan membabitkan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Asean (AEC) 2025, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata usaha penyepaduan ekonomi itu adalah satu proses dinamik dan Pelan Induk AEC 2025 itu sedang dilaksanakan menerusi perancangan kerja pelbagai badan dalam Asean.

“Semua perancangan kerja itu sentiasa dinilai dan dikemakini bagi memastikannya relevan dan berkesan,” katanya kepada Bernama pada seminar Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Malaysia sebagai Pintu Masuk Asean,  pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Darrell berkata jawatan pengerusi Asean yang dipegang secara bergilir dalam kalangan negara Asean pada setiap tahun, akan turut mengutamakan proses pelaksanaan tahunan itu dan pertubuhan itu telah mencatat banyak kemajuan bagi mencapai usaha tersebut.

Malah, kata beliau, antara pencapaian utama tersebut adalah pemansuhan tarif intra- Asean dan meningkatkan usaha menambah baik aspek kemudahan dagangan serta menangani langkah bukan tarif dalam blok tersebut.

Menurut Darell, tujuh negara anggota Asean turut menyertai operasi Tetingkap Tunggal Asean yang memudahkan transmisi elektronik sijil negara asal bagi tujuan tuntutan duti tertentu oleh pengimport manakala baki negara anggota dijangka berbuat demikian dalam tahun ini.

“ Asean turut terbabit dalam usaha memperkukuhkan aspek penyepaduan perkhidmatan dan pelaburan di rantau ini.

“Dua perjanjian penting telah dimeterai pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-25 pada 23 April lepas iaitu Perjanjian Perkhidmatan Perdagangan ASEAN dan Protokol Keempat untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif Asean,” katanya.

Beliau menyifatkan perjanjian itu hanya meningkatkan lagi liberalisasi bagi sektor perkhidmatan selain mengurangkan keperluan prestasi yang dikenakan bagi pelaburan intra- Asean.

Pencapaian lain termasuk Perjanjian Pergerakan Penduduk Asal dan merealisasikan kerjasama pengangkutan udara menerusi Dasar Langit Terbuka bagi pasaran ASEAN pada April 2016 yang merangkumi perkhidmatan penerbangan penumpang dan perkhidmatan kargo udara.

Menurutnya, Sekretariat Asean uga telah mewujudkan Direktorat Pemantauan Integrasi Asean (AIMD) dalam usaha memastikan Pelan Tindakan AEC 2025 berjalan lancar selain aspek penyepaduan ekonomi.

Ditanya bagaimana Malaysia dapat memanfaatkan konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Darell berkata ini menerusi keupayaan Malaysia menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti dan mapan ke negara ini.

Beliau berkata Malaysia memiliki kestabilan persekitaran politik serta kekukuhan asas ekonomi yang menjadi keperluan untuk persekitaran perniagaan kondusif.

“Faktor lain turut menyumbang kepada kelebihan Malaysia adalah infrastruktur logistik berkelas dunia, kesalinghubungan serantau dan antarabangsa, tenaga kerja mahir, kos yang berdaya saing, mudah menjalankan perniagaan, kualiti kehidupan yang baik serta ekosistem industri yang maju serta rantaian bekalan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kebanyakan ekonomi — terutama negara anggota ASEAN dan syarikat di luar AS dan China — akan terjejas dalam jangka panjang dan sederhana memandangkan rantaian bekalan mereka bersifat saling terhubung dalam pasaran global.

“Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan menganggarkan kira-kira dua pertiga daripada perdagangan dunia kini bergerak dengan adanya pengeluaran global,” katanya.

Darell berkata sejak bermula konflik perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi penggalakan perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), telah secara aktif mencari program untuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada konflik perdagangan berkenaan.

“Matrade telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu syarikat asing mendapatkan pengeluar kontrak Malaysia yang sesuai bagi mengeluarkan produk di Malaysia di samping menyokong syarikat multinasional asing yang berpusat di Malaysia untuk menggantikan import menerusi Program Pembangunan Rakan Kongsi dan Penyumberan Global,” katanya.

Beliau berkata Miti dan agensi penggalakan pelaburan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL Corporation akan meneruskan usaha dalam menarik FDI berkualiti baik dan menggalakkan pelaburan langsung domestik dengan menyediakan geran padanan menerusi skim seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik.

“Berasaskan kepelbagaian ekonomi yang baik dan minat berterusan pelabur asing, Malaysia akan menjadi lebih baik untuk menghadapi cabaran ekonomi akan datang,” katanya.

ASEAN merupakan pertubuhan antara kerajaan serantau yang terdiri 10 negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei, Vietnam, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Tahun lepas, Asean merekodkan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai US$3 trilion, meletakkan blok ini sebagai ekonomi kelima terbesar dunia.

Pada 2018, Asean mencatatkan jumlah perdagangan bernilai US$2.8 trilion dan menarik pelaburan bernilai US$154.7 bilion.

Seminar sehari bertemakan ‘Malaysia-Australia: Memanfaatkan Perkongsian, Menjambatani Peluang’ itu adalah anjuran bersama MIDA dan MATRADE sempena misi perdagangan dan pelaburan ke Australia dari 19 hingga 23 Ogos yang diketuai oleh Darell.

Seminar itu menarik 221 peserta, merangkumi pengilang, penyedia perkhidmatan profesional dan perniagaan, pemaju hartanah, ahli perniagaan, dewan dan persatuan industri serta pegawai kerajaan.– BERNAMA