Malaysia Dateline

Kanak kanak etnik Rohingya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang.

ASEAN tekan Myanmar isu Rohingya di sidang kemuncak

Negara-negara ASEAN telah menyatakan bahawa krisis pelarian di Myanmar merupakan “hal yang diberi perhatian”, ketika Persidangan Kemuncak ASEAN, penyataan yang tidak lagi mengikut prinsip tidak mencampuri hal ehwal dalaman yang dipegang ASEAN, lapor Nikkei Asian Review.

“Kami telah berbincang dan menerima penerangan dari Myanmar berkaitan situasi kemanusiaan di wilayah Rakhine, yang merupakan hal yang diberi perhatian,” dalam kenyataan Pengerusi ASEAN. Walaubagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyebut perkataan “Rohingya”, yang merujuk kepada kumpulan minoriti Muslim yang telah melarikan diri dari Myanmar.

Kenyataan Pengerusi ASEAN juga turut menyatakan sokongan kepada Myanmar untuk menyelesaikan isu tersebut serta menyarankan suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan Myanmar untuk, “bertanggungjawab dalam menjalankan penyiasatan yang bebas dan adil berkaitan soal kelanggaran hak asasi manusia dan isu berkaitan,”.

Kenyataan tersebut turut mendukung usaha untuk mencari “jalan penyelesaian yang menyeluruh dan berpanjangan” dalam mendepani permasalahan akar penyebab konflik berkenaan.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu pemberita bahawa lebih daripada seorang pemimpin ASEAN telah menyuarakan isu krisis Rohingya di Sidang Kemuncak ASEAN.

Jelas beliau, “Kami telah berbincang tentang isu Rohingya, dan beberapa pihak telah menyuarakannya dalam mencari jalan penyelesaian.”

Dr Mahathir juga turut mengkritik Aung San Suu Kyi bahawa, “Seseorang yang pernah ditahan pasti memahami erti kesusahan dan tidak seharusnya dikenakan kepada orang lain.”

Usaha penghantaran balik ke negara asal yang melibatkan lebih 700,000 Muslim Rohingya yang berada di Bangladesh juga lewat dilaksanakan.

Kenyataan luar biasa ASEAN yang menyentuh soal hal ehwal dalaman menunjukkan ketidaksabaran rakan-rakan ASEAN lain dalam kelewatan Myanmar dalam memberi respon soal kelanggaran hak asasi manusia yang telah diklasifikasikan sebagai penghapusan bangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Indonesia yang mempunyai rakyat majoriti Muslim juga turut menyuarakan isu ini di Sidang Kemuncak itu. Presiden Joko Widodo telah menyambil sikap tegas soal krisis Rohingya.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence turut berjumpa dengan Suu Kyi dan berbincang tentang usaha penghantaran balik Rohinya ke Myanmar. “Saya bimbang tentang perkembangan berkaitan Rohinya, ” kata beliau.

Tambah beliau, “Keganasan dan penindasan oleh tentera yang menyebabkan 700,000 Rohingya lari ke Bangladesh ialah fakta tanpa alasan,”.

Jawab Suu Kyi, “Tentulah pelbagai pihak mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi yang penting ialah seharusnya saling berkongsi pandangan dan belajar untuk memahami antara satu sama lain,”.