Malaysia Dateline

Aset bersih RM18 juta-Rafizi dedah macam mana dia boleh kumpul harta sebanyak itu

Aset bersih Rafizi Ramli bernilai RM18 juta membuatkan penyokong Umno, Pas dan Bersatu kecoh dan mempersoalkan aset itu, hari ini dia mendedahkan macam mana dapat mengumpul harta sebanyak itu.

Kata Rafizi beliau sengaja mengisytihar harta supaya ada pihak membuat bising kerana rakyat akan menyampah.

Menurut Rafizi, RM16 juta itu saham dan pelaburan saya dalam startup (atau syarikat pemula) yang saya tubuhkan iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd.

“Saya memang tunggu mereka buat bising kerana rakyat akan menyampah. Mereka bising pasal saya isytihar harta tetapi mereka tidak pula bising pimpinan mereka yang tidak ada perniagaan, tidak ada kelulusan, tidak pernah memimpin organisasi korporat tetapi hidup macam raja,” katanya.

Dua tujuan utama beliau isytihar harta iaitu untuk menunjukkan hipokrasi mereka dan untuk menggalakkan anak-anak muda mula membina perniagaan yang bernilai tambah.

“Hati saya juga didorong untuk menjaga kebajikan 150 kakitangan saya di Invoke.

“Mereka anak muda yang berkelulusan tinggi – 30% mendapat straight A semasa SPM dan banyak ijazah kelas pertama dari universiti terkenal di seluruh dunia termasuk Cambridge, Oxford, Cornell, UCL dan banyak lagi. Umur mereka antara 22 hingga 27 tahun. 70% Melayu dan 30% bukan Melayu.

“Mereka ada kepakaran dalam bidang teknologi terutamanya beberapa bidang yang menjadi tulang belakang ekonomi digital iaitu sains data, kejuruteraan perisian, pemasaran digital, dan seni kreatif digital,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut berhubung harta, kata Rafizi semua simpanan dari Tabung Haji dan ASB yang dikumpul semasa muda telah dilaburkan sebagai saham permulaan dalam Invoke sebanyak RM2.5 juta secara beransur-ansur sejak 2016.

“Mana saya kumpul RM2.5 juta tunai masa muda?

“Saya seorang profesional lulusan kejuruteraan elektronik dan akauntan bertauliah lulusan Institute Akauntan Bertauliah England & Wales (ICEAW), iaitu institut akauntan bertauliah paling tua di dunia.

“Saya memulakan kerjaya di London, gaji dalam pound. Masa itu, satu pound adalah RM6.

“Bila saya balik sertai Petronas, gaji permulaan RM3,750. Selepas enam bulan dan disahkan sebagai pengurus termuda dalam Petronas, gaji saya naik RM11,000 sebulan pada umur 26 tahun. Umur 27 tahun saya naik pangkat lagi menjadi ketua bahagian perancangan petrokimia Petronas, dan gaji saya naik RM25,000 sebulan.

“Ketika itu, Petronas memendekkan tempoh persaraan dari umur 60 tahun kepada 55 tahun, jadi saya mendapat pampasan RM400,000 pada umur 27 tahun untuk 5 tahun perkhidmatan yang dipendekkan.

“Prestasi saya baik di Petronas. Setiap tahun selama 7 tahun saya berkhidmat di Petronas, bonus saya adalah di antara 10 hingga 12 bulan setahun. Jadi pendapatan kasar saya setahun di akhir umur 20an adalah sekitar RM500,000 setahun.

“Wang simpanan itulah yang saya laburkan membuka syarikat Invoke,” jelas Rafizi.

Rafizi turut mendedahkan ramai yang tidak faham tentang syarikat berasaskan teknologi atau yang dipanggil tech startup yang mana nilaian sebuah tech startup di awal penubuhan bukanlah bergantung kepada untung rugi tetapi…

“Pertama, nilai teknologi yang dibangunkan dan prestasi berkembang di pasaran lain (atau scalability). Oleh kerana teknologi itu tidak menggunakan banyak tenaga kerja, kalau ia berjaya dikembang masuk pasaran luar negara, platform yang dibangunkan itu berpotensi besar di masa hadapan.

“Kedua, kadar pertumbuhan perolehan (atau revenue) setiap tahun. Lebih cepat perolehan berkembang, lebih bernilai.

“Ketiga, kemampuan syarikat mempunyai tunai yang mencukupi dengan mengimbangi perolehan dan perbelanjaan, selalunya dipanggil cash sustainability,” katanya.

Rafizi juga mendedahkan kedudukan kewangan terkini syarikatnya di mana purata pertumbuhan perolehan 2019 ke 2022 adalah sebanyak 90% setiap tahun

Manakala bagi keuntungan di peringkat syarikat setiap tahun iaitu RM507,000 untuk 2020, RM653,000 untuk 2021 dan dijangka RM1.5 juta untuk 2022.

Dan keuntungan kumpulan pula iaitu 2 anak syarikat yang membangunkan platform teknologi masih belum untung, tetapi kerugian kumpulan semakin mengecil setiap tahun.

Kedudukan tunai katanya, dijangka mencukupi sehingga 2 tahun lagi tanpa perlu menerbitkan saham.

Menurut Rafizi, ada beberapa cara nilaian syarikat dibuat, cara paling mudah ialah berdasarkan nilai aset bersih, tetapi ini cara kuno kerana tidak mengambil kira potensi masa depan.

“Untuk mengambil kira potensi masa depan, pekali (atau multiplier) digunakan untuk menilai syarikat berasaskan potensi berkembang perolehan dan keuntungan.

“Untuk tech startup seperti Invoke dengan prestasi pertumbuhan yang dicapai kini, selalunya pekali adalah di antara 7 hingga 10 kali dari perolehan tahun. Ini kaedah piawai yang digunakan di seluruh dunia oleh syarikat venture capitalist yang melabur.

“Perolehan Invoke untuk 2021 adalah RM6.3 juta dan untuk 2022 dijangka melebihi RM11 juta. Jadi julat nilaian INVOKE ialah antara RM60 juta ke RM120 juta.

“Ini bukan saya pandai-pandai cakap. Ini adalah nilaian rasmi oleh Cradle, sebuah agensi kerajaan yang memantau pertumbuhan startup. Tengok nilaian rasmi ini di laman www.mystartup.gov.my

“Nilaian ini dibuat oleh sebuah firma penilai bebas dari Singapura bernama VentureCap Insights.

“Saya masih memegang lebih 70% dari saham Invoke. Tapi untuk isytihar harta, saya gunakan kaedah nilaian paling rendah iaitu nilai aset bersih iaitu sebanyak RM17 juta.

“Dari RM17 juta itu, RM11 juta adalah pelaburan yang membeli saham-saham Invoke dari 2019 hingga 2022.

“Kenapa pelabur tempatan dan antarabangsa beli saham Invoke?

“Kerana potensi untuk Invoke disenaraikan di pasaran saham di masa hadapan yang membolehkan mereka mendapat pulangan besar bila saham-saham Invoke mula dijual beli orang ramai.

“Kenapa saya cerita semua ini?

“Kerana saya nak yakinkan anak muda Malaysia bahawa ini jalan masa depan kita. Anak muda Malaysia sangat berbakat, pandai dan berkebolehan. Anak-anak muda di Invoke telah membawa syarikat hingga ke nilaian berpuluh juta dalam masa 2 tahun.

“Bila Invoke disenaraikan, mereka semua ada saham, dan mereka boleh hidup selesa di masa muda. Syaratnya kena pandai, kena kreatif, kena usaha, kena berani dan kena jujur.

“Masa depan kita ialah ekonomi digital supaya mudah dikembangkan ke rantau Asia Tenggara, dan seluruh dunia.

“Visi saya ingin menaikkan ekonomi digital supaya lebih ramai usahawan tech Malaysia yang menghasilkan produk-produk digital terbaik di dunia.

“Anda ingat Umno Pas Bersatu faham semua ini?

“Mereka hanya tahu jalan sakau wang untuk kaya.

“Sebab itu sampai sekarang belum isytihar harta,” ujar Rafizi.

Baca juga: Suami tidak dayus benar doktor lelaki sambut bayi-Hukum jadi harus sebab tiada pilihan terutama tak mampu ke hospital swasta

Baca juga: 21 tahun jadi pemandu ambulan, lelaki tak tahan sebak bawa jenazah anak terlibat kemalangan