Malaysia Dateline

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$101.70 bilion sehingga 31 Okt

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$101.70 bilion sehingga akhir Oktober 2018, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$52.3 juta untuk tempoh sama, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab Malaysia sehingga akhir Oktober 2018, tetap boleh guna.

BNM berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenalpasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit merangkumi antaranya pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan bayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara apabila matang berjumlah US$1.47 bilion.

“Kedudukan hadapan pendek sebanyak US$22.79 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.53 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Bank pusat itu berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$108.1 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

— BERNAMA