Malaysia Dateline

Aset rizab rasmi Malaysia sebanyak AS$102.03 bilion pada akhir November

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$102.03 bilion pada akhir November 2018 manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$51.6 juta pada tempoh yang sama, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung kewangan Antarabangs (IMF) menunjukkan sehingga akhir November 2018, rizab Malaysia tetap boleh guna.

BNM berkata untuk tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit dalam mata wang asing, yang merangkumi antaranya bayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan dan bayaran balik perolehan daripada Bil Antara Bank Bank Negara Malaysia apabila matang, berjumlah US$2.97 bilion.

“Jumlah kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak US$21.71 bilion, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah US$2.57 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Bank pusat berkata satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$108.1 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.