Malaysia Dateline

Aset Tabung Haji tidak dikuasai bukan Islam, kata Perdana Menteri

Akhirnya serangan terhadap Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui Putrajaya kononnya Tabung Haji (TH) dikuasai bukan Islam terbukti fitnah melalui jawapan kepada pertanyaan lisan Dewan Rakyat semalam.

Perdana Menteri mengesahkan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (AMANAH-Parit Buntar).

“Minta Perdana Menteri menyatakan kedudukan jumlah aset terkini Tabung Haji.

“Adakah benar kerajaan terdahulu telah menjual banyak aset Tabung Haji dan membiarkan Tabung Haji dikuasai oleh orang bukan Islam,” soal Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH.

Sehubungan itu, Muhyiddin memberitahu kedudukan terkini aset Lembaga Tabung Haji (TH) pada 30 Jun lalu seperti diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78 bilion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.

Selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, jelasnya, aset-aset yang kurang berdaya saing telah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” jawab Muhyiddin.

Sebelum ini, Pas dan Umno berulang kali mendakwa TH dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan di bawah kerajaan PH telah dikuasai orang bukan Islam.

Antaranya pada 29 Mac tahun lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

Petikan reaksinya turut dimuatkan di Facebook beliau dengan tajuk “Sangat Tidak Wajar Urusan Tabung Haji Diserahkan Kepada Bukan Islam.”

“Kita belum mendapat maklumat terperinci kerana menteri (Dr Mujahid ketika itu) tidak jawab soalan. Siapa CEO semua, ahli-ahli, tidak diberitahu.

“Jadi, susah kita nak buat kenyataan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi tetap menegaskan TH tidak wajar diserahkan kepada bukan Islam selepas diasak oleh soalan daripada pemberita ketika itu.

“Tidak wajar. Itu tabungan orang Islam, beri pada orang Islam. Haji ini ibadat,” tegas Abdul Hadi lagi.

Antara paparan muka depan lidah rasmi Pas tentang TH ketika pentadbiran kerajaan PH.

Tanggung sampai akhirat 

Turut sama dilihat mencerca kerajaan PH sebelum ini berhubung isu TH ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani.

Penceramah yang terkenal dengan cerita tentang azab kubur itu dalam satu kuliahnya secara terang-terang menuduh aset-aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

“Kenapa nak dijual kepada orang bukan Islam? Harta Tabung Haji, harta orang milik Islam. Dijual begitu. Rugi sangatkah Tabung Haji sampai peringkat nak dijual hotel-hotel yang telah dibina di kawasan strategik itu?

“Boleh dijual semata-mata kerana nak mengaut keuntungan. Dosa kamu jual ini kamu tanggung sampai akhirat nanti,” tegas Ahmad Dasuki.

Deretan laporan berita di Harakahdaily yang mengaitkan TH dikuasai orang bukan Islam.