Malaysia Dateline

ASFRC cadang langkah kekalkan kestabilan kewangan Asia Pasifik

Jawatankuasa Kawal Selia Kewangan Asia (ASFRC) yang menghimpunkan pakar-pakar pasaran kewangan dan isu-isu berkaitan dasar di rantau Asia Pasifik, telah membuat beberapa cadangan bagi mengekalkan kestabilan kewangan termasuk mengurangkan risiko krisis kewangan dalam masa terdekat.

Pengerusi ASFRC serta Ketua Pengajian Ekonomi dan Kewangan Universiti Massey, Prof Martin Young berkata salah satunya adalah keperluan untuk memperkasakan dasar kehematan makro, yang telah dilaksanakan selepas krisis kewangan global pada 2008.

“Bagaimanapun, batasan dan kekurangan dasar-dasar ini perlu difahami dengan jelas. Sebagai contoh, sekatan ke atas pinjaman hartanah mengabaikan sumber pembiayaan bank, yang sebahagian besarnya berasal dari deposit bukan teras dan pasaran pembiayaan pemborongan luaran di mana bank-bank pusat mempunyai kawalan yang minimum,” katanya kepada pemberita di sini.

ASFRC yang ditubuhkan pada 2004, merangkumi ahli akademik terkemuka dari dalam dan luar negara yang amat memahami keadaan di Asia, mereka mengadakan pertemuan dwitahunan di sini bagi membincangkan pelbagai cabaran kewangan yang dihadapi oleh negara-negara di Asia.

Pertemuan itu dianjurkan oleh Universiti Sunway, Kuala Lumpur.

Young berkata pengawal selia bank di Asia harus melihat dengan lebih dekat kepada peningkatan keperluan bank yang mencukupi di luar tahap Basel 3, seperti yang sedang dilaksanakan oleh Switzerland dan New Zealand.

“Di samping itu, amat penting bagi peserta pasaran kewangan bagi lebih memahami risiko di rantau secara keseluruhan dan untuk berbuat demikian, ia memerlukan perkongsian data yang lebih besar daripada sekarang,” katanya.

Terdahulu, Young berkata tahap hutang global terus meningkat, sekarang ini merekodkan kira-kira US $244 trilion, naik sebanyak US$27 trilion sejak 2016.

“Tahap ini mempunyai implikasi yang ketara ke atas kestabilan pasaran kewangan dan kemungkinan berlaku krisis,” katanya.

Mengulas mengenai bagaimana Malaysia perlu lebih berdaya tahan daripada kejutan kewangan, Profesor Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara, Prof Woo Wing Thye berkata kerajaan wajar menghentikan monopoli dalam sistem perbankan.

“Kita perlu mengeluarkan lebih banyak lesen perbankan kepada bank-bank kecil dan sederhana supaya tidak ada bank yang menjadi begitu penting kepada sistem supaya ia tidak boleh gagal dan yang lebih penting lagi, bank-bank ini akan memudahkan pemberiaan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu mempelbagaikan aktiviti ekonominya untuk memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada satu sumber utama ekonomi seperti perkilangan.

— BERNAMA