Asmuni kembali sihat, mula aktif program parti

Asmuni kembali sihat, mula aktif program parti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bendahari Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Asmuni Awi kini kembali pulih selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2 April lalu.

Selepas lebih sebulan berehat dan bercuti daripada sebarang program parti, Asmuni hadir mesyuarat pengurusan parti pada Sabtu dan kemudian ke mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur, semalam.

“Secara rasmi saya sudah memulakan tugas di firma saya dan juga dengan Amanah di peringkat negeri dan nasional,”

“Saya buat pertemuan susulan dengan doktor Isnin lepas dan tiada apa-apa masalah lain selepas pembedahan,” katanya kepada Malaysia Dateline. 

Malah lebih awal dari itu, Asmuni yang juga pengerusi Amanah Negeri Perak kembali mempengerusikan mesyuarat pengurusan negeri pada Khamis lalu kemudian mesyuarat biro politik negeri pada Sabtu selain turut menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan Perak pada Jumaat.

“Alhamdulillah saya sudah boleh menghadiri mesyuarat Amanah seperti biasa dan menjelang pilihan raya kecil Kuala Kangsar ini, sudah tentu banyak mesyuarat yang perlu dihadiri sama ada yang sudah dalam jadual atau ad hoc,” katanya.

Asmuni mendapat rawatan selama sepuluh hari di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum dibenarkan pulang dan berehat di rumahnya di Ipoh, Perak. 

Sementara itu, beliau yang ceria ketika ditemui turut merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan menziarahinya sewaktu di hospital dan di rumah. 

“Terima kasih kepada kawan-kawan sekolah, jiran-jiran dan kawan-kawan dalam politik tidak kira parti mana pun yang mendoakan saya dan tak putus-putus bertanya khabar dan menziarahi saya,” katanya.

TAGS