Malaysia Dateline

ASNB nasihat pelabur kemaskini data peribadi

– Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB) meminta pelabur segera mengemaskini butiran peribadi di seluruh cawangan atau ejen ASNB untuk menikmati perkhidmatan portal myASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata sehingga kini masih ramai pelabur unit amanah terbesar itu belum mengemaskini butiran terkini sehingga menyukarkan mereka menggunakan kemudahan digital itu.

“ASNB menawarkan kemudahan pelaburan dalam talian menerusi portal myASNB secara percuma termasuk untuk pelaburan tambahan dan perkhidmatan pelaburan bulanan automatik iaitu Auto Labur. Jika menggunakan portal perbankan lain, pelabur dikenakan caj perkhidmatan.

“Tujuan lain adalah bagi membolehkan ASNB membina profil pelabur yang lebih tepat seterusnya menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelabur,” katanya kepada Bernama pada Program Pelancaran Kemaskini Butiran Anda Segera 2019 (Kembara PNB 2019) pada Isnin.

Katanya, bagi menggunakan portal myASNB, pelabur perlu terlebih dahulu mengemaskini nombor telefon di mana-mana cawangan atau ejen ASNB sebelum mendaftar di www.myASNB.com.my.

Antara kemudahan ditawarkan myASNB ialah pelabur boleh mengakses menerusi aplikasi telefon bimbit seperti membuat pelaburan tambahan untuk pelabur dan pelabur bawah 18 tahun, kemudahan pelaburan bulanan automatik serendah RM30 menerusi Auto Labur, pembukaan akaun baharu dan semakan baki pelaburan terkini serta muat turun penyata urusniaga.

Mengenai program Kembara PNB 2019, beliau berkata ia dilancarkan 18 Sept lepas bagi menarik lebih ramai pelabur mengemaskini butiran peribadi mereka dimana-mana cawangan atau ejen ASNB.

Mohammad berkata, kerjasama dengan ejen ASNB adalah penting kerana mereka memainkan peranan sebagai pemudahcara untuk pelabur ASNB dalam segala urusan.

Ejen ASNB terdiri daripada cawangan Maybank, Maybank Islamic, CIMB Bank, CIMB Islamic, RHB Bank, RHB Islamic Bank, Alliance Bank, AmBank, AmBank Islamic, Bank Simpanan Nasional (BSN), Affin Bank, Bank Muamalat, Hong Leong Bank, Hong Leong Islamic Bank dan Pos Malaysia yang mempunyai gabungan lebih 2,000 cawangan di seluruh negara.

ASNB ketika ini menguruskan 14 unit amanah termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mempunyai kira-kira sembilan juta pelabur.

ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 32 pejabat cawangan dan lebih 2,600 cawangan ejen di seluruh negara yang kini menguruskan 14 dana unit amanah dengan 248.5 bilion unit dalam edaran (UIC) dan 14.1 juta akaun.

— BERNAMA