Asri cadang Perlis adakan sekali lagi pilihan raya

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berpendapat Perlis harus mengadakan pilihan raya semula susulan krisis menteri besar yang sedang melanda.

“Nampaknya, macam Perlis kena buat pilihanraya semula. Mungkin dengan cara itu semua akan puasha,” katanya.

Beliau menyatakan demikian di dalam laman facebooknya hari ini dipercayai mengulas mengenai krisis kerusi menteri besar di negeri itu.

Kata Dr Asri lagi dengan pilihan raya semula itu jika diadakan akan dapat memilih calon-calon terbaik.

“Boleh pilih wajah-wajah yang baru dan bermutu tinggi dari semua pihak yang bertanding. Mana-mana jaguh yang ada kualiti tapi telah ‘terkalah’ di tempat lain, mungkin boleh datang bertanding di Perlis. Ada 15 kerusi untuk direbut. Maka, Perlis boleh dapat calon-calon terbaik,” ujarnya.

Semalam, kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Datuk Ismail Kassim, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Tindakan itu menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka.

Baginda menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka. Ismail menafikan perkara itu dan mencadangkan nama lain selain beliau dan Azlan.

Shahidan mendakwa kesemua sembilan AdunBN tidak menyokong Azlan, sekali gus bermakna mereka memperoleh majoriti penentu dalam dewan negeri.

Termasuk Azlan, BN mempunyai sepuluh kerusi manakala lima lagi milik pembangkang.

COMMENTS

Wordpress (0)