Asri dijatuhkan hasil fitnah Umno yang disebarkan ahli Pas, kata anaknya

Najah Asri (dua dari kiri) sebagai panelis forum memperingati ulang tahun kejatuhan Pas 40 tahun lalu.

Kekalahan Pas Kelantan dalam pilihan raya negeri pada 11 Mac 1978 adalah akibat fitnah yang dirancang rapi oleh Umno dan ahli-ahli Pas yang termakan angkara itu menyebarluaskan hingga menimbulkan kebencian rakyat.

“Saya bertemu sendiri dengan bekas timbalan menteri besar sebaik Umno berkuasa selepas pilihan raya itu, Datuk Husein Ahmad,” kata anak Arwah Datuk Asri Muda, Najah Asri sebagai panel forum bertajuk “Apakah sejarah 40 tahun kembali lagi” di Kota Bharu malam tadi.

Beliau menyingkap bagaimana ayahnya dilabel pemilik peribadi parti Pas dengan menyatakan singkatan parti itu Parti Asri Sekeluarga.

“Mereka katakan begitu kerana ibu saya adalah ketua muslimat manakala abang ipar saya sebagai ketua pemuda.

“Pada hal ibu saya sebenarnya aktif berpolitik lama sebelum berkahwin dan memegang pelbagai jawatan sebelum menyertai Pas.

“Abang ipar saya pula menjadi ketua pemuda Pas dari tahun 1964 hingga 1969 dan kemudian menjadi menantu arwah ayah pada tahun 1970,” katanya.

Mengenai kononnya wujud hotel milik Asri di Jakarta, beliau berkata cerita ini direka sendiri oleh Husein Ahmad.

“Beliau mengaku ketika melawat ibu negara Indonesia itu terjumpa hotel ASRI dan terus mengambil gambar.

“Gambar itu disebar ketika hamper pilihan raya dengan tuduhan Datuk Asri ada hotel di sana.

“Walhal sebenarnya hotel itu milik persatuan penulis bernama Angkatan Sasterawan Republik Indonesia (ASRI),” katanya.

Yang paling beliau sedih adalah tohmahan kononnya arwah ayahnya memiliki pelbagai asset di seluruh dunia.

“Selepas beliau meninggal kami tertunggu-tunggu juga pengurus-pengurus asset dari serata dunia datang membawa harta kepada kami.

“Namun sampai hari ini pun bayang tak nampak-nampak,” katanya berseloroh.

Forum itu turut dianggotai, bekas Adun Pasir Mas, Haji Hashim Omar dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

6.5
OVERALL SCORE
3 user votes x 8.7