Asri hanya ulang semula kecaman Pas, bidas Salahuddin

Asri hanya ulang semula kecaman Pas, bidas Salahuddin

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dianggap mengambil pendekatan murahan apabila mengkritik AMANAH menggunakan alasan yang sering diuar-uarkan Pas sebelum ini.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, berkata, partinya akan tetap mempertahankan kemuliaan Islam dan kedudukan Melayu di sebalik pelbagai kecaman dan tohmahan dibuat pelbagai pihak, termasuk Mohd Asri.

Tegasnya, Asri sebenarnya mengitar semula hujah yang selalu dikumandangkan oleh Pas apabila menuduh AMANAH seolah-olah menjadi pelindung DAP.

Malah, kata Ahli Parlimen Pulai itu, hujah “kuda DAP” juga pernah dikenakan kepada Pas ketika kedua-dua parti tersebut masih bekerjasama.

“Waktu kami dalam Pas dan bersama DAP, itulah juga lagunya: bahawa Pas dikudakan DAP. Apabila AMANAH bersama DAP dalam PH seperti sekarang, itu juga lagunya.

“Isu ini adalah isu yang diulang-ulang, beliau (Mohd Asri) kena ingat, semasa saya dalam Pas, itulah isu yang dimainkan (untuk menyerang Pas), tapi AMANAH tidak akan peduli.

“Bagi AMANAH, yang penting ialah, dengan kuasa yang ada pada PH, kami dapat mengekalkan kedudukan Islam dan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Dr Mohd Asri dalam satu rakaman temubual dengan salah seorang anak didik Dr Zakir Naik, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu secara menyindir berkata kagum dengan AMANAH kerana begitu setia kepada DAP.

Selain mengkritik gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dibawakan AMANAH, Dr Asri berkata, dirinya tidak pernah melihat wujudnya perbezaan sebarang kenyataan dikeluarkan oleh DAP dengan AMANAH.

Bahkan, jelasnya, AMANAH sentiasa mencari alasan untuk membela DAP secara langsung dan tidak langsung.