Pelakon sensasi, Janna Nick kembali mencuri tumpuan selepas memuat naik satu rakaman bagi menjawab persoalan ramai mengenai perubahan bentuk badannya.
Difahamkan, ramai pengguna media sosial menduga bahawa pelakon itu sebenarnya sedang hamil anak pertama berikutan badannya dikatakan tampak semakin ber‘isi’.
Menerusi rakaman yang dikongsi di laman TikTok itu, Janna dilihat melakukan ujian kehamilan kendiri (UPT) di rumahnya selepas terjaga dari tidur pada pukul 4 pagi.
Jelas Janna, UPT perlu dilakukan ketika suaminya iaitu Dini Schatzman sedang tidur kerana tidak mahu lelaki itu melihatnya tertekan dengan keputusan ujian tersebut.
“Terbangun tidur pada jam 4 pagi. Jadi saya buat keputusan untuk melakukan ujian kehamilan. Buat masa Dini tidur supaya dia tak nampak saya tertekan. Harapnya tak kecewa lagi.
“Sudah penat berharap. Doa selagi mampu sebab memang teringin sangat (hamil). Gementar setiap kali nak tengok keputusan. Berharap dapat ‘dua line’, boleh buat kejutan pada Dini.
“Bila tengok keputusan, pelik. Sebab sudah berusaha dengan bermacam cara. Kena paksa diri untuk terima ‘belum rezeki’ lagi,” kata pelakon Puteri Lindungan Bulan itu.
Mengulas lanjut Janna turut mendedahkan, punca tubuh badannya semakin berisi adalah kerana dirinya sedang berusaha hamil dengan mengurangkan pergerakannya.
Watak utama dalam filem Jemputan Ke Neraka itu juga terpaksa berkorban dengan berhenti melakukan aktiviti kegemarannya selain mengamalkan pelbagai suplemen.
“Sudah masuk fasa psiko. Badan berisi sebab tak aktif bergerak, takut susah lekat. Korban segala aktiviti yang saya suka termasuk yoga, sauna, senaman berat dan kerja berlebihan supaya badan dapat berehat.
“Makan segala jenis suplemen (pemakanan tambahan) sampai muka naik jerawat besar. Mula terganggu apabila setiap bulan semua benda saya rasa adalah simptom mengandung. Terlalu berlebihan dalam berfikir.
“Tolong ambil perhatian, proses kehamilan tak mudah. Saya terima takdir dan tahu ada orang lagi lama menunggu. Janna berdoa agar semua yang sedang berjuang dan menanti akan dapat bayi yang comel.” Jelasnya.
Sekadar info, Janna Nick dan Dini Schatzman sah bergelar suami isteri pada 10 Jun tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Aisyah, Langkawi, Kedah.