Malaysia Dateline

Asyraf lebih percaya, yakin dengan Dr Maza bukan Mujahid

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau lebih percaya dengan penerangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu pendakwah Dr Zakir Naik.

Asyraf berkata dia lebih yakin dengan penjelasan Asri atau dikenali sebagai Dr Maza berbanding bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Bahkan, bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Puteh yang tewas kepada Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dari Pas pada PRU14 itu bersyukur Mujahid tidak sampai dua tahun bergelar menteri.

“Saya lebih percaya dan yakin dengan kenyataan dan penjelasan sahabat saya Mufti Perlis Drmaza berbanding Kekandaku Dr Mujahid Yusof Rawa yang hanya pandai bermain persepsi.

“Mujurlah Allah takdirkan hanya 22 bulan jadi Menteri,” kata Asyraf sambil berkongsikan penjelasan Dr Maza berkenaan isu Zakir Naik itu.

Asri antara lain memberitahu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH itu enggan bertemu Zakir.

“Semasa polemik panas isu DZN (Dr Zakir Naik), saya menghantar mesej peribadi kepada beliau mencadangkan beliau bertemu DZN sendiri.

“Jawapan beliau kepada saya semasa itu beliau enggan. Alasan beliau: ‘Mereka ini dah macam menyembah Zakir Naik.’

“Beliau merujuk kepada para pembela DZN. Saya tidak simpan mesej itu lagi. Allah menjadi saksi apa yang saya sebut,” ujarnya.