Asyraf Wajdi ada hak untuk bersuara, kata Mahathir

Asyraf Wajdi ada hak untuk bersuara, kata Mahathir

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempunyai hak untuk menyuarakan sebarang pendapatnya.

Pandangan itu disuarakan Dr Mahathir berhubung kenyataan Asyraf dalam Wacana Sinar Ke-99 pada Selasa.

Dalam wacana itu, Asyraf mengatakan Perdana Menteri mahukan dua pertiga kerusi dalam Parlimen, kerana mahu menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi saya dah buat kenyataan.. apabila saya berhenti, Datuk Seri Anwar akan ambil alih,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada Rabu.

Sementara itu, Tun Mahathir turut menyifatkan khabar angin yang mengatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai satu spekulasi.

“Itu hanya spekulasi… saya tak buat spekulasi… saya pun tak tahu siapa yang buat semua ini,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya pemberita mengenai ura-ura mengatakan Azmin Ali akan dilantik menjadi TPM apabila rombakan kabinet berlaku.