Asyraf Wajdi, anak Presiden Pas main futsal di Semenyih

Asyraf Wajdi, anak Presiden Pas main futsal di Semenyih

Pemimpin Pemuda Umno dan Pas peringkat nasional bersama penyokong masing-masing.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi lewat petang tadi bermain futsal dalam perlawanan persahabatan di Semenyih.

Asyraf Wajdi bersama pasukannya memakai baju-T merah tertera ‘PPUM’ bukan Pusat Perubatan Universiti Malaya sebaliknya Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Sementara itu, pasukan Pemuda Pas mengenakan baju-T ungu ‘DACS HL’ yang menjadi warna tema kempen Rang Undang-Undang (RUU) 355 sebelum ini.

Mereka bermain di Pusat Sukan Sekeluarga di Dataran Dato’ Mohd Said bersebelahan Pusat Arahan BN PRK N24 Semenyih sejurus selesai sidang media bersama.

Selepas hampir sejam perlawanan, Pas menang dengan kiraan tiga mata berbalas dua di pihak Umno.

Difahamkan, perlawanan persahabatan futsal antara Pemuda Umno dan Pas melibatkan pimpinan sayap itu peringkat nasional adalah kali pertama diadakan.

Terdahulu, Asyraf Wajdi dalam sidang media memberitahu persetujuan bersama telah dicapai dengan Pemuda Pas dalam mesyuarat petang tadi untuk menubuhkan jawatankuasa khas bersama.

Menurutnya, jawatankuasa yang juga membabitkan Pemuda Berjasa dan Ikatan itu bukan sahaja bagi gerak kerja Pilihan Raya Kecil Dun Semenyih sahaja bahkan berperanan menangani pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat.

Pemain dari pasukan Pemuda Pas cuba untuk merampas bola dari Asyraf Wajdi