Malaysia Dateline

Asyraf Wajdi dangkal, PN bukan mandat rakyat, kata Naib Ketua AMK

Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat rakyat diselar sebagai dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata.

Syed Badli Shah Syed Osman

Naib Ketua Angatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman, berkata, hakikatnya PN ditubuhkan atas dasar pengkhianatan beberapa wakil rakyat yang memilih untuk melompat lalu menubuhkan kerajaan.

“Pengkhianatan mereka pula disambut oleh Umno dan Pas yang saya sifatkan sebagai terdesak untuk menjadi kerajaan sehingga sanggup memilih jalan belakang tanpa melalui pilihanraya.

“Tentunya mereka yang tidak bermaruah sahaja akan bertindak demikian demi mencapai matlamat dengan cara yang songsang,” katanya dalam satu kenyataan ini.

Semalam, Asyraf “mengalu-alukan” cadangan Pemuda Bersatu (Armada) yang mahu memutuskan kerjasama dengan mereka jika bersungguh-sungguh mahu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, Asyraf mendakwa, jika mereka berbuat demikian, rakyat akan menghukum mereka kerana mempermainkan mandat rakyat dengan sewenang-wenangnya ketika orang ramai gelisah menghadapi Covid-19.

“Rakyat pastinya hakim terbaik untuk menilai dan menghukum mereka yang sewenang-wenangnya mempermainkan mandat rakyat hanya kerana ketamakan dan kerakusan kepada kuasa, pada saat rakyat sedang susah dan gelisah menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Badli berkata, seharusnya Umno dan Pas menolak dari awal kerjasama untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang dan kekal berperanan sebagai pembangkang yang bermaruah.

Beliau juga menyarankan agar Asyraf membimbing ahli Umno yang lain untuk keluar dari PN demi mengembalikan maruah parti itu.