Malaysia Dateline

Asyraf Wajdi gesa gubal segera akta lompat parti

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan segera menggubal akta anti lompat parti bagi mengelakkan ketidakstabilan politik di negara ini berterusan.

Menurutnya, tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan ADUN akan berulang selagi akta tersebut diwujudkan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Selagi tiada akta ini, selagi itulah politik negara tidak akan stabil lantaran terus wujud katak-katak politik berkepentingan dan rakus kuasa hingga rakyat menjadi mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Semalam, kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari Umno tumbang apabila empat ADUN mengumumkan menarik sokongan.

Empat ADUN terbabit adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Mengulas lanjut, Dr Asyraf Wajdi berkata episod lompat parti usah dilihat daripada satu sudut semata-mata kerana semua pihak ada ‘saham’ di dalamnya.

“Sebagaimana yang berlaku dalam episod seawal kerajaan PH dibentuk, Sabah menyaksikan negeri pertama jatuhnya kerajaan apabila beberapa ADUN BN lompat ke Warisan.

“Kemudian PH juga menghalalkan lompat parti 15 Ahli Parlimen Umno ke Bersatu.

“Akhirnya, PH jatuh juga kerana Bersatu melompat keluar daripada menjadi komponen PH, ditambah beberapa Ahli Parlimen PKR lompat kepada Bersatu,” jelasnya.

Beliau mengingatkan putaran roda terus berlaku dan episod jatuh bangun kerajaan akan tidak berhenti kerana lompat melompat terus berlarutan sehingga menyebabkan politik negara tidak akan stabil.