Malaysia Dateline

Asyraf Wajdi ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar

Demi menjaga imej Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya membantu memberi cadangan bernas dan bukannya memanjangkan pembohongan.

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sambil menyifatkan, ketua pemuda Umno itu tidak sepatutnya memanjangkan pembohongan ibarat lebai malang kerana marah nyamuk, kelambu dibakar.

Datuk Dr Mujahid Yusuf

“Asyraf sepatutnya malu pada diri sendiri dan juga kepada umat Islam kerana gagal membetulkan keadaan ketika beliau menjadi timbalan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam sebelum ini.

“Adalah sebelum ini ketika Umno berkuasa, semasa Tabung Haji (TH) dalam keadaan tenat, ketua pemuda ini terlalu asyik dibuai mimpi dan kini baru terjaga?

“Malangnya keprihatinan beliau hari ini tentang TH bersandarkan kepada kepalsuan dan penuh dendam kesumat terhadap kejayaan Pakatan Harapan (PH) menyelamatkan TH.

“Ini bukanlah kali pertama Asyraf mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja tidak tepat, malah ianya palsu dan berniat fitnah kepada TH dan juga PH,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, Dr Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH turut mendedahkan kenyataan Asyraf yang tidak tepat dilemparkan kepada pihaknya.

“Pada 3 Mei lalu, beliau mengeluarkan dakwaan kononnya umat Islam di negara ini kehilangan kuota tambahan untuk menunaikan haji kerana hubungan dingin antara kerajaan PH dengan Arab Saudi.

“Bukan itu sahaja, malah pada Mac tahun ini pula beliau mendakwa aset TH diurus oleh bukan Islam. Terkini, Asyraf mendakwa pula menjual pegangan saham dalam TNB dan semua fitnah-fitnah itu dan sebelumnya telah pun dijawab berserta fakta.

“Kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak membantu memartabatkan institusi umat Islam malah, sebaliknya berpotensi menjejaskan pasaran saham dan amat membahayakan kepentingan TH secara menyeluruh yang kini telah pulih imejnya,” katanya lagi.