Asyraf Wajdi sah Ketua Pemuda Umno, Papagomo menang exco

Papagomo

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki secara rasmi diumum sebagai Ketua Pemuda Umno yang baharu bagi sesi 2018 – 2021.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat melalui Twitter Pemilihan Umno 2018.

Pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menyaksikan Asyraf Wajdi mendapat 65 undi, diikuti Senator Khairul Azwan Harun (62), Mohd. Shahar Abdullah (51) dan hanya dua undi untuk Datuk Seri Jamal Yunos.

Sementara itu, penulis blog kontroversi Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo tersenarai antara 20 exco sayap parti tersebut.

Bekas polis trafik berusia 35 tahun itu memperoleh tempat ke-16 dalam pemilihan Pemuda Umno daripada 183 pesaing yang diumumkan hari ini.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju dari 2013 hingga 2018 itu juga merupakan Presiden NGO Malaysia Bumiputra Brotherhood sejak 2014.

Dia yang pernah disabitkan bersalah memfitnah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengetepikan Akmal Saufi iaitu anak bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebelum ini, Papagomo memberi bayangan bahawa dia menang jawatan itu dengan memuat naik foto beserta ucapan terima kasih di laman Instagramnya sebelum keputusan rasmi diumum.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS