Imej di atas adalah Imej Satelit: Kedudukan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sg Durian, Kuala Krai yang terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1997 dan 2020. Gambar #SaveKelantan.
ATAS nama Ladang Hutan, Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan kini terancam kepupusan apabila penerokaan hutan berjalan secara berleluasa.
Ini kerana, di atas nama untuk membuat ladang hutan, kerajaan negeri boleh membenarkan HSK diteroka di seluruh negara.
Di Kelantan, seorang aktivis ‘#Save Kelantan’ Hishamuddin Mohd Ghazali mendedahkan, HSK Sungai Durian, Kuala Krai kini telah hampir gondol.
Kayu yang besar dan kecil habis diambil atas nama untuk membersihkan hutan bagi dijadikan tapak ladang hutan.
“Cuba anda semua buat perbandingan saiz hutan semulajadi yang kini bertukar jadi Ladang Hutan Sawit, Getah, Durian milik tauke tauke hingga rapat ke sempadan negeri Terengganu.
“Di atas kertas mereka katakan ini sebagai Hutan Simpan Kekal, malah mengaku Kelantan negeri ke 3 paling banyak hutan.
“Mereka retah/bagi tanah negeri ni macam tanah negeri ini harta pusaka tok nenek mereka punya!” tulis Hishamudin yang lebih dikenali sebagai Syamghaz, aktivis #SaveKelantan, yang marah dengan apa yang berlaku di Kelantan sekarang.
Pada 21 Mac lalu, lidah rasmi Pas, Harakahdaily melaporkan, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, sehingga kini keluasan hutan simpan kekal Kelantan lebih 629,000 hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri.
SaveKelantan yang dipimpin oleh bekas pemimpin Pas dan AMANAH, Datuk Husam Musa kini menjadi badan bukan kerajaan yang aktif bergerak menyedarkan masyarakat bagi membela kepentingan rakyat negeri itu.
Mereka menentang projek Ladang Hutan yang kini popular di Kelantan dan Pahang.
SEJARAH PROJEK LADANG HUTAN
Projek Pembangunan Ladang Hutan bermula pada tahun 2005 selepas Kabinet di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi meluluskan cadangan itu. Ia terletak di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Turut terlibat adalah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Pada awalnya RM1 bilion telah diperuntukkan untuk projek Ladang Hutan manakala selepas itu RM500 juta lagi diluluskan.
Kelantan antara negeri yang awal memperkenalkan konsep Ladang Hutan iaitu sejak 2003 lagi, sebelum Kabinet Kerajaan Persekutuan meluluskan projek ini pada tahun 2005.
Ketika itu Pengarah Hutan Kelantan adalah Zahari Ibrahim yang kini adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Malaysia.
Tujuan murninya adalah untuk menggantikan hutan yang telah diteroka dan diambil kayu balaknya dan mengurangkan tekanan ke atas Hutan Simpan Kekal atau HSK itu bagi mengimbangkan isu suply and demand kayu di negara ini.
Namun kebenaran tanah HSK diteroka untuk Ladang Hutan telah dijadikan alat untuk menarah HSK di seluruh Malaysia khasnya di Kelantan dan Pahang.
“Inilah punca masalahnya yang sebenar,” kata sumber kepada Malaysia Dateline.
Hasilnya peladang yang benar-benar ikhlas untuk membangunkan semula hutan atau membuat Ladang Hutan di atas tanah hutan yang kosong telah terpalit noda.
Menurut Macaranga.org, sebuah laman web yang memperjuangkan isu alam sekitar, hanya satu pertiga dari 40,506 hektar tanah yang telah diteroka untuk Ladang Hutan di Kelantan telah ditanam dengan pokok ladang hutan, selebihnya dibiarkan kosong selepas semua kayu kayannya ditarah.
Ia telah menjadikan tanah itu kosong dan tidak terkejut kalau harimau kini berkeliaran di dalam kampung di negeri itu selepas habitat mereka dimusnahkan.
Di Pahang keadaannya lebih teruk. Tidak sampai 20 peratus tanah hutan simpan yang dibersih licin, ditanam semula dengan pokok Ladang Hutan.
Selepas pendedahan Macaranga dan Malaysia Dateline sebelum ini, kerajaan negeri Pahang memaklumkan mereka telah menarik balik 33 kelulusan kawasan konsesi balak yang melibatkan tanah seluas 28,872 hektar selepas ia gagal ditanam semula dengan ladang hutan.
ISTILAH POKOK HUTAN
Walaupun ditanam dengan pokok hutan, istilah pokok hutan telah menyebabkan hutan sebenarnya sudah tidak ada lagi.
“Untuk bagi nampak istilah Hutan Simpan Kekal itu luas dan banyak, mereka masukkan pokok getah, sawit, durian dan spesis hutan yang bernilai komersil lain sebagai HUTAN.
“Sebab itu mereka letak nama Ladang Hutan, masih berada dalam zon Hutan Simpan Kekal, walaupun sudah jadi ladang komersil,” kata Syamghaz.
Paling malang, kata Syamghaz, apa yang berlaku adalah:
“Mula-mula, mereka luluskan lesen membalak dulu.
“Lepas habis kayu balak, mereka luluskan sebagai kawasan Ladang Hutang untuk tebang habis pokok pokok secara cuci kawah.
“Lepas licin ambik balak dan kayu, mereka jual pula tanah tu untuk buat Ladang Hutan dengan harga RM2,000 – RM4,000 se ekar dengan pajakan selama 66 tahun, boleh tambah lagi 33 tahun.
“Apabila pemilikan tanah Kelantan bukan lagi dibawah kuasa Negeri, tapi milik individu dan syarikat. Anda ingat mudah untuk ambik kembali?” kata Syamghaz.
Menurut beliau, dalam kes HSK Sg Durian, kawasan di sebelah Kelantan sudah hampir licin, rapat ke sempadan Terengganu.
“Sebab Itulah air Sg Pil, Sg Pertang dan sungai-sungai sekitar jadi keruh pekat hingga ke muara Sungai Kelantan. Sebab aktiviti penerokaan tanah berterusan hingga sekarang,” kata beliau.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio