Malaysia Dateline

Atas nasihat MKN mesyuarat MN bincang kemasukan Bersatu batal

Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) bagi membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu dibatalkan malam tadi.

Setiausaha Agung bersama sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa memberitahu pmbatalan mesyuarat melibatkan Umno dan Pas itu atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tiada (mesyuarat). Ada yang hadir tapi dibatalkan atas nasihat MKN,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu kepada media sejurus beredar meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dilihat keluar dari bangunan tersebut kira-kira jam 11.05 malam juga mengesahkan tiada sebarang mesyuarat diadakan.

“Tak ada mesyuarat,” katanya beredar tanpa menjawab sebarang persoalan lanjut dikemukakan pemberita.

Untuk rekod, MN adalah kerjasama politik Umno dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

Dalam masa sama, Umno turut membatalkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadual berlangsung di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) di Janda Baik, Pahang hari ini.