Malaysia Dateline

Atase pertahanan asing lawat fasiliti ketenteraan di Korea Selatan

Sekumpulan atase pertahanan asing yang berpangkalan di Korea Selatran melawat fasiliti ketenteraan dalam satu program yang direka untuk meningkatkan pemahaman mereka berhubung situasi keselamatan di negara itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pertahanan pada Isnin.

Di bawah program lawatan tiga hari yang bermula pada Isnin, kira-kira 50 pegawai tentera di misi diplomatik asing di sini serta pasangan masing-masing dijadualkan berkunjung ke ibu pejabat Armada Ketiga Tentera Laut, Sayap Pejuang ke-20 Tentera Udara dan maktab tentera di bahagian tengah dan selatan negara itu.

Mereka juga dijangka melawat ibu pejabat Agensi bagi Pembangunan Pertahanan negara dan kilang Kia Motors Corp, pembuat kereta utama Korea Selatan yang turut mengeluarkan kenderaan tentera, menurut kementerian pertahanan.

Lawatan itu, yang biasanya dianjurkan dua kali setahun oleh kementerian tersebut, adalah “bagi membantu meningkatkan pemahaman mereka berhubung situasi keselamatan semasa di Semenanjung Korea termasuk usaha tentera membantu proses damai yang sedang berjalan” membabitkan Korea Utara, menurut kementerian pertahanan.– BERNAMA