Atasi integriti, fokus isu rakyat

Atasi integriti, fokus isu rakyat

Bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata sehingga kini negara mengalami krisis kepimpinan dan berbalah kuasa sehingga mengabaikan isu rakyat.

Beliau berkata, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pimpinan, banyak manifesto yang tidak ditunaikan.

Katanya, tiada ‘check and balance’ terhadap kuasa Perdana Menteri apabila institusi awam seperti Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Sejak PH mengambil alih kerajaan pada Mei lalu, banyak manifesto yang tidak ditunaikan dari segi institusi iaitu membawa SPRM terus kepada parlimen sebab kini kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“SPRM kadangkala punya kuasa tapi kalau tak ada duit, akan terjejas juga. Yang kedua, Peguam Negara (AG) masih dicadang oleh PM dan dipersetujui oleh Agong. Apabila ada kes SPRM, mana mungkin seorang AG untuk menangkap PM.

“Walaupun SPRM dapat satu lori bukti tapi apabila sampai ke AG dan AG kata tak ada bukti, maka tak ada bukti. Sesiapa jadi PM, bila mereka melakukan kesalahan, mereka tak dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi Buku Anwar PM Ke-8, Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya masalah integriti tidak diatasi segera, masalah rasuah dan sosial akan terus terjadi.

“Hakikatnya, PH sudah banyak melakukan reformasi dan kemungkinan kita akan lihat persepsi rasuah menunjukkan indikasi yang lebih baik,”katanya.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman; Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Editor Astro Awani sebagai moderator, Nazri Kahar; dan Penulis Buku, Shahbudin Husin.