Atasi kelemahan pengurusan anak syarikat Felda sebelum ubah nasib peneroka

 

Harapan  Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengubah nasib 112,000 peneroka dengan meningkatkan pulangan aset dipegang Felda berjumlah RM3.97bilion dalam tempoh dua tahun, akan sukar terlaksana sekiranya masih ada kelemahan pengurusan dan kewangan dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan Felda Investment Corp (FIC).

Atasi kelemahan pengurusan anak syarikat Felda sebelum ubah nasib peneroka

 

Wan Mohd Shahir Wan Abd JalilHarapan  Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengubah nasib 112,000 peneroka dengan meningkatkan pulangan daripada aset dipegang Felda berjumlah RM3.97bilion dalam tempoh dua tahun, agak sukar terlaksana sekiranya masih terdapat kelemahan pengurusan dan kewangan dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan Felda Investment Corp (FIC).

Pandangan ini dilontarkan Pengerusi Task Force Felda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil.

Wan Mohd Shahrir berkata, pada masa ini Felda memiliki 33% saham FGV sedangkan sebanyak RM2bilion dilaburkan dalam FIC.

“Beliau (Tan Sri Shahrir Samad) mengakui kelemahan pelaburan Felda dalam dua anak syarikat itu yang tidak memuaskan hatinya.

“Ini kerana pulangan yang rendah sejumlah RM3.97bilion itu tidak mampu menampung perbelanjaan Felda.

“Felda telah bertindak untuk menjual asetnya untuk mengatasi aliran tunai.

” Jika perkara ini berlaku (menjual aset) bagi menampung kerugian Felda sedangkan perniagaan utama daripda FGV dan FIC masih lagi tidak membawa keuntungan kepada Felda ia akan meningkatkan beban kepada Felda,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas kenyataan Shahrir  itu dalam satu temubual sempena 100 hari pelantikannya sebagai Pengerusi Felda mengantikan Tan Sri Isa Samad dalam laporan yang disiarkan The Star baru-baru ini.

Shahrir dipetik berkata, FGV menyumbang sejumlah RM300juta kepada Felda termasuk RM250juta di bawah perjanjian pajakan tanah manakala pulangan daripada FIC adalah jauh berbeza daripada syarikat-syarikat pelaburan lain milik kerajaan.

Shahrir berkata RM2 bilion dilaburkan dalam FIC, ia tidak memberi pulangan yang diingini selepas tiga tahun prestasi rendah sejak ditubuhkan pada tahun 2013. FIC mempunyai pelaburan dalam bidang hotel, hartanah dan disenaraikan bursa saham.

Wan Mohd Shahrir yang juga Ahli MPT Bersatu, berkata, walaupun Ahli Parlimen Johor Bahru itu telah membuat perubahan kepada ahli lembaga pengarah FIC agar meletakkan jawatan dan melantik beberapa pengurusan baharu ia masih tidak munasabah untuk menyelesaikan isu FGV dan FIC.

Justeru Wan Mohd Shahrir mencadangkan sewajarnya seluruh pengurusan FGV di bawah Pengerusinya Tan Sri Isa Samad, Ahli Lembaga Pengarah dan diperingkat pengurusan bawahan melepaskan semua jawatan mereka, dakwanya, kerana kegagalan FGV dalam membawa pulangan pelaburan yang memuaskan kepada Felda sejak ditubuhkan.

“Atau jika berlaku sebarang penyelewengan Tan Sri Shahrir perlu menjalankan siasatan secara terperinci apa sebenarnya masalah FGV yang gagal membawa pulangan kepada Felda yang selama ini telah menjejaskan pendapatan 112,000 peneroka yang terlibat.

“Jika ada individu yang didapati menyeleweng perlu dibawa ke muka pengadilan hatta jika dianya pengerusi FGV sendiri,” ujarnya.

Wan Mohd Shahrir yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Pahang kurang bersetuju dengan cadangan Shahrir untuk melaksanakan sukuk jangka panjang bagi mengatasi tabungan Felda.

Felda mempunyai bajet tahunan antara RM2 bilion dan RM3 bilion untuk memenuhi kewajipan terhadap peneroka sektor perumahan, pendidikan dan dalam menguruskan tanah.

Selain daripada sumbangan FGV sekitar RM300 juta kepada Felda dan RM1 bilion daripada aset, pendapatan kasar Felda dianggarkan lebih RM200juta setahun daripada 40,000 hektar ladang yang dimiliki dan diuruskannya.

Felda menjangkakan akan memperoleh RM650juta lebih dari kutipan pendahuluan dan lain-lain pelaburan tahun ini, menurut Shahrir.

Justeru Wan Mohd Shahrir mempersoalkan, jika sukuk diterbitkan semata-mata untuk mengatasi aliran tunai Shahrir perlu menjelaskan kepada rakyat pihak mana yang akan membayar segala hutang itu kelak?

“Sebenarnya siapa akan bayar sukuk ini? Adakah kerajaan atau rakyat atau peneroka?

“Ini kerana kita tahu beban hutang peneroka selama ini, jadi kita bimbang adakah ini akan jadi satu lagi beban sebagaimana ‘1MDB’.

“Felda terbitkan sukuk sebagai pinjaman kerana mahu membayar pinjaman lain- bagaimana pula kita nak selesaikan hutang ini?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran FGV membeli Eagle High Plantation sedangkan hanya miliki 37% pegangan saham.

“Persoalannya jika kerajaan mahukan Eagle High Plantation mengapa Felda yang kena beli sedangkan Felda ada masalah kewangan yang berat kenapa pula bukannya syarikat GLC yang lain?

“Tan Sri Shahrir selaku Pengerusi Felda sepatutnya menjaga kepentingan peneroka bukan menjadi ‘puppet’ kepada mana-mana orang politik.

“Beliau seharusnya bertegas jika pembelian itu sememangnya menguntungkan peneroka,” ujarnya.

Justeru Ketua Bahagian Bersatu Jerantut ini menelah Shahrir tidak berperanan mahu menyebelahi peneroka sebaliknya mempertahankan kelemahan kerajaan dalam kegagalan pengurusan kewangan anak-anak syarikat Felda.

Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda pada bulan Januari. Isa kekal sebagai Pengerusi FGV.