Malaysia Dateline

Atasi segera masalah pembangunan tanah Melayu

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang berkaitan pemilikan tanah dan mempertimbangkan langkah mengehadkan bilangan pemilik dalam satu geran.

Mohd Azmi berkata, pemilikan yang ramai dalam satu geran merupakan faktor terbesar menghalang usaha pembangunan Tanah Rizab Melayu ketika ini.

“Kami berpendirian sebab pembangunan Tanah Rizab Melayu tidak serancak yang dilakukan kerana orang Melayu masih berpegang kepada sikap tidak melihat tanah berkenaan sebagai aset yang strategik bagi pembangunan ekonomi.

“Pembangunan di Tanah Rizab Melayu tidak semestinya terhad kepada pembinaan rumah kediaman biasa sahaja malah diperluaskan kepada harta komersil dan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau mendakwa, isu tanah pegangan Melayu sehingga hari ini, masih belum lagi diselesaikan secara baik dari segi menyelamatkan tanah Melayu dari berpindah tangan dan membangunkan tanah milik Melayu itu sendiri.

Menurutnya, permasalahan utama adalah apabila pemaju dikatakan takut menanggung risiko selain pihak bank turut bimbang mengalami kerugian kerana kuasa beli orang Melayu adalah rendah.

“Syarikat pemaju hartanah Melayu dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau anak syarikatnya sebagai antara pihak yang enggan membangunkan TRM. Mereka perlu mencari penyelesaian segera bagi permasalahan ini.

“Suatu penyelesaian mengenai perbezaan nilai tanah yang ketara bagi kawasan orang Melayu dan kawasan tanah berstatus terbuka juga faktor yang mengekang pembangunan tanah Melayu.

“Isu mengekalkan pegangan Tanah Rizab Melayu sekurang-kurangnya 50 peratus perlu diberi perhatian serius dan perlu ditangani segera supaya ia tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan,” katanya yang juga Pengerusi Jaringan Bertindak Tanah Melayu.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar setiap negeri mewujudkan sebuah sekretariat tetap simpanan tanah Melayu yang akan memantau pembangunan serta transaksi yang melibatkan Tanah Rizab Melayu.

Jelasnya, Menteri Besar di setiap negeri perlu melibatkan pihak luar kerajaan yang mempunyai kepakaran mengenai tanah supaya keputusan dapat diambil secara berintegriti.