Atlet olahraga wanita Amerika Syarikat (AS), Anna Cockrell menjadi perhatian ramai selepas rakaman memaparkan dirinya ‘catwalk’ di trek larian tular di media sosial.
Rakaman itu turut mengundang perbincangan hangat di kalangan netizen Malaysia yang menyamakan rupa dan gelagat Anna dengan seorang pempengaruh tempatan.
Pempengaruh dimaksudkan oleh netizen ini adalah Imran Bard yang terkenal dengan perkongsian kandungan berunsur lawak di media sosial antaranya di plaform TikTok.
Hal ini menyebabkan akaun Instagram milik atlet AS di Sukan Olimpik Paris 2024 itu dihujani dengan komen berbahasa Melayu dari pengguna media sosial tempatan.
Sempat merasa terkejut, Anna akhirnya lega selepas mendapat penjelasan daripada seorang rakyat Malaysia yang tampil memberi pencerahan mengenai situasi sebenar.
“Terima kasih banyak di atas penjelasan ini! Patutlah saya selalu nampak namanya disebut dalam video saya. Saya mulanya sangat keliru apabila menerima banyak komen dalam bahasa Melayu dan Indonesia,” respon Anna kepada individu itu.
Terdahulu, rakaman memaparkan atlet terbabit catwalk di trek larian mulanya tular di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) hingga Imran turut memberikan respon mengenainya.
Menerusi satu ciapan, pemilik nama sebenar Muhammad Al Imran Badaruddin itu dengan berseloroh mengatakan dirinya sedang bersedia memulakan larian dan meminta orang ramai mendoakannya agar meraih emas.
Pempengaruh berusia 23 tahun itu juga sempat bergurau bahawa permohonan visanya baru-baru ini adalah untuk mewakili Amerika Syarikat bagi kategori tersebut di Olimpik Paris.
Imran kemudiannya memuat naik satu rakaman video di laman TikTok menyunting video Anna itu bersama dirinya sendiri yang memperlihatkan persamaan antara mereka dengan jelas.
Baca juga: Rezeki terpijak! Cuma jual keratan batang pokok, suri rumah berjaya raih RM5,000 dalam tiga minggu