Atlet ATM punyai ciri kecemerlangan sukan, jangan cepat mengalah, kata Mohamad

Atlet ATM punyai ciri kecemerlangan sukan, jangan cepat mengalah, kata Mohamad
Seramai 9 atlet penerima Anugerah Lambang Emas dan olahragawan dan olahragawati bergambar bersama Menteri Pertahanan Malaysia.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memuji atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilihat mempunyai ciri-ciri kecemerlangan dalam arena sukan.

Justeru itu, beliau mengingatkan atlet ATM menanamkan semangat juang yang tinggi agar mereka tidak cepat mengalah dan tewas dalam pertandingan.

“Saya ingin mengingatkan kepada atlet-atlet supaya tidak sesekali merasakan diri mereka tidak berkemampuan untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi.

“Hakikatnya, dalam diri anda semua ada ciri-ciri kecemerlangan. Arena sukan menempuh beberapa evolusi yang kian mendadak baik dari segi taktik, teknik dan peralatan, justeru ATM tidak mahu ketinggalan dalam hal ini.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu, memperkenalkan daya kepimpinan dan pengurusan yang lebih positif bagi membina platform yang kukuh dalam memastikan kesinambugan kecemerlangan sukan ATM dan negara,” katanya.

Olahragawan Laskar Kanan Jackie Wong Siew Cheer dan orahiaawati Laskar Kelas 1, Norliyana Kamaruddin bersama sijil penghargaan, piala pusingan dan wang tumai

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Tahun 2018 anjuran Majlis Sukan Angkatan Tentera di Wisma Perwira, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Dalam majlis itu, Laskar Kanan Jackie Wong Siew Cheer daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinobatkan sebagai Olahragawan ATM 2018 yang membawa pulang wang berjumlah RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Beliau daripada Sukan Olahraga telah berjaya merangkul pingat emas di kejohanan Pra Sukan Asia dan meraih perak di kejohanan terbuka Korea Selatan.

Laskar Kelas 1, Norliyana Kamaruddin juga daripada TLDM telah dinobatkan sebagai Olahragawati ATM 2018 yang turut membawa pulang wang berjumlah RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Norliyana berjaya merangkul dua pingat emas masing-masing dalam acara lompat tinggi di kejohanan olahraga terbuka Vietnam dan juga kejohanan olahraga Asean University.

Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyerahkan  trofi kepada Mejar (B) Hardeep Singh a/l Meha Singh penerima Anugerah Tokoh Sukan 2018