Malaysia Dateline

Atlet negara wajar dirai, meskipun tidak mencapai sasaran pingat emas Sukan SEA

Malaysia wajar meraikan kejayaan atlet negara yang telah berhempas pulas menggembleng tenaga di Sukan SEA Filipina meskipun sasaran 70 pingat emas tidak berjaya dicapai.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim optimis dengan kewajaran untuk meraikan ‘pejuang-pejuang sukan’ yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Walaupun tidak mencapai sasaran 70 pingat emas, Malaysia wajar meraikan kejayaan atlet yang telah bertungkus lumus untuk mengharumkan nama Malaysia dalam temasya edisi ke-30 ini.

“Kami juga berpendapat, sasaran pingat bagi setiap kejohanan sukan wajar diteruskan supaya para atlet dan pasukan dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk mencapai sasaran yang diletakkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak turut berpendapat bahawa pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan di negara ini perlu mencari punca kepada prestasi kontinjen negara

“Ini adalah untuk memastikan setiap sasaran yang diletakkan dapat dicapai pada masa akan datang. Faktor lain yang menyumbang kepada prestasi kurang baik ini seperti logistik, latihan dan kedudukan semasa pencapaian atlet perlu diberi perhatian untuk temasya yang akan datang.

“Selain itu, bagi memastikan pembangunan sukan-sukan baru terus dipertingkatkan, pihak kementerian dan persatuan sukan yang terlibat diharapkan dapat menyediakan perancangan jangka masa panjang dengan memberi perhatian kepada latihan dan peruntukan yang diperlukan.

“Justeru itu, diharapkan semua atlet dapat melipat gandakan lagi usaha dengan sokongan daripada semua pihak yang terlibat untuk persediaan pada acara sukan yang akan datang,” ujarnya sambil merakamkan ucapan tahniah kepada kontinjen negara di atas kejayaan yang dicapai dalam temasya sukan yang berlangsung selama 11 hari itu.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia berjaya meraih 56 pingat emas, 58 Perak dan 71 gangsa dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang telah melabuhkan tirainya malam tadi.