Malaysia Dateline

Atlet Negeri Sembilan menang pingat Sukan SEA Manila akan diberi insentif

Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi insentif kepada atlet negeri ini yang berjaya memenangi pingat pada Sukan SEA ke-30 di Manila.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jumlah insentif mengikut pingat emas, perak dan gangsa itu adalah bergantung kepada apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri.

“Insentif ini diberikan kepada mereka seperti mana yang telah kita janjikan sebelum ini. Perkara ini akan kita umumkan sebaik mereka pulang ke tanah air. Kita juga akan meraikan kemenangan mereka ini.

“Selain individu, insentif ini juga layak diberi kepada atlet Negeri Sembilan yang mewakili (menyertai) pasukan. Kita juga ingin tahu berapa jumlah sebenar atlet Negeri Sembilan yang telah memenangi pingat dan pingat apa yang mereka menangi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Antara atlet Negeri Sembilan yang telah memenangi pingat termasuk pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi yang dinobat sebagai Raja Pecut baharu Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dan S. Kisona yang meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita.

Kisona bergelut sebelum menumpaskan pemain muda Indonesia, Ruselli Hartawan menerusi kemenangan 20-22, 21-14 dan 21-13 pada aksi final di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila.

Sukan SEA 2019 selama 11 hari itu akan melabuhkan tirai hari ini dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City yang dijangka akan disempurnakan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.– BERNAMA