Atlet Olimpik Paris 2024 kecewa dengan kualiti pingat, warna luntur lepas seminggu

Oleh WAN SITI AMINAH

“Pingat ini kelihatan seperti baru pulang daripada perang”, itulah keluhan dikongsikan oleh atlet papan selaju dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Nyjah Huston, baru-baru ini.

Perkongsian menerusi platform Instagram itu dibuat oleh Huston untuk mendedahkan keadaan pingat gangsa yang dimenanginya pada minggu lalu di Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 29 tahun itu meraih pingat gangsa selepas kalah di tangan pemenang pingat emas, Yuto Horigome dari Jepun dan rakan senegaranya, Jagger Eaton (AS).

Huston difahamkan sudah beberapa hari pulang ke AS sebelum membuat hantaran di Instastory berkongsi pandangan mengenai kualiti pingat yang dimenanginya itu.

“Baiklah, jadi pingat Olimpik ini kelihatan sangat hebat ketika ia masih baharu. Tetapi ia nampaknya tidaklah berkualiti tinggi seperti yang anda semua fikirkan.

“Selepas membiarkannya melekat pada kulit saya dengan sedikit peluh dan membenarkan rakan-rakan untuk memakainya pada hujung minggu, ia kelihatan sangat teruk,” katanya dalam satu hantaran video.

Menerusi rakaman itu, dapat dilihat kualiti pingat tersebut terjejas dengan sangat teruk walaupun baru seminggu ia dimenangi malah warna gangsa juga sudah tertanggal.

Bukan itu sahaja, bahagian belakang pingat itu juga rosak dengan begitu ketara sehingga sebahagian tulisan yang tertera di atasnya sudah tidak dapat dilihat secara jelas.

“Saya tidak tahulah. Harapnya kualiti pingat Olimpik dapat dipertingkatkan selepas ini,” kata Huston yang pernah meraih 12 pingat emas di dalam kejohanan X-Games sebelum ini.

Atlet itu juga pernah memenangi pingat emas sebanyak enam kali menerusi Kejohanan Dunia selain mempunyai sembilan perak dan empat gangsa dalam kedua-dua pertandingan.

Terdahulu, Nyjah Huston yang menetap di Laguna Beach, California itu memenangi gangsa untuk Amerika Syarikat (AS) menerusi acara ‘Street’ lelaki papan selaju di Sukan Olimpik Paris 2024.

Walaupun penampilan sulung Huston di Olimpik berakhir di atas podium, namun kenangan berharganya daripada kemenangan itu ‘pudar’ dalam tempoh seminggu sahaja.

Baca juga: Misteri kotak pemenang pingat Olimpik terungkai, sekali atlet dedah isinya, ramai ingat mini Menara Eiffel