Atlet pertama positif Covid-19 dipercayai dijangkiti dari MP Sarikei

Atlet pertama positif Covid-19 dipercayai dijangkiti dari MP Sarikei

Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang disahkan positif Covid-19 dipercayai dijangkiti daripada ayahnya, Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong Ling Biu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, Jackie telah pulang ke Sarawak pada 11 Mac untuk melawat ayahnya dan ujian telah dijalankan pada 14 Mac, lapor BH hari ini.

Walau bagaimanapun, Reezal berkata, tidak dapat disahkan sama ada Jackie dijangkiti Covid-19 ketika ayahnya melawat dia di Kuala Lumpur pada 1 Mac lalu atau ketika Jackie pulang ke Sarawak pada 11 Mac.

Sehubungan itu, Reezal berkata, semua atlet, jurulatih dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan Jackie akan dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah pencegahan terhadap penularan Covid-19.

Sebuah pusat kuarantin atlet, jelasnya, diwujudkan di asrama (Casa 1) Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan tersebut.

Beliau juga telah mengarahkan fasiliti MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang telah dikunjungi Jackie ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian dan sanitasi sepenuhnya.

Pada 14 Mac lalu, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa Wong Ling Biu dimasukkan ke Hospital Sibu sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

Ling Biu dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dikatakan menghadiri beberapa mesyuarat politik di Kuala Lumpur dari 29 Februari hingga minggu lalu.

Walau bagaimanapun, Ling Biu lapor Harian Metro pada 15 Mac lalu memberitahu beliau bukan dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 sebaliknya radang paru-paru.

Walhal, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien juga mendakwa Ling Biu positif Covid-19.

Andrew Wong Ling Biu