Malaysia Dateline

ATM akan bertindak jika pegawai salah jalan tugas

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

Dalam satu kenyataan Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 yang dikeluarkan hari ini menyatakan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa.

Penegasan itu dikeluarkan ekoran laporan sebuah portal yang mendakwa tiga anggota Pasukan Khas ATM masih berkhidmat dengan Mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

ATM memaklumkan bahawa kesemua anggota Pasukan Khas telah ditamatkan penugasan mereka sebagai pengiring rapat kepada mantan Menteri Pertahanan sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tempoh hari.

Walaubagaimanapun, menyahut kepada kenyataan yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu, ATM telah melaksanakan siasatan terhadap dakwaan tersebut.