Malaysia Dateline

Liew Chin Tong

ATM diarah siasat kejadian kanak-kanak maut terjatuh di Kem Wardieburn

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong meminta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kuarters di Kem Wardieburn, di sini, Isnin lepas.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata siasatan itu dibuat bagi meneliti punca sebenar kemalangan serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi mengelak tragedi sama berlaku.

Menurut kenyataan itu, Liew hari ini berkunjung ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Nakhoda Batu Caves, dekat sini, dan menyampaikan sumbangan peribadi serta merakamkan ucapan takziah.

“Selain itu, Liew turut melawat tempat kejadian untuk melihat sendiri keadaan bangunan dan kemudahan keselamatan di kuarters itu,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan turut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali bagi pihak menteri, Mohamad Sabu.

Pada insiden itu, mangsa Muhammad Harith Hazim Abdul Malik, 6, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kuartes di Kem Wardieburn dalam kejadian jam 2.15 petang.

Mangsa dikatakan telah memanjat dinding di tingkat tiga kuarters itu dipercayai untuk mengambil mainan yang berada pada kajang tingkap sebuah unit kediaman di tingkat dua, sebelum terjatuh ke bawah.

— BERNAMA