Malaysia Dateline

ATM pandang serius kes culik lima warganegara Indonesia

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius insiden penculikan melibatkan lima warganegara Indonesia (WNI) di perairan Tambisan, Sabah yang dilaporkan pada 16 Januari lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam – J7, Markas ATM hari ini, kelima-lima WNI dipercayai telah dibawa ke Selatan Filipina oleh kumpulan penculik yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf.

“ATM sentiasa mengimplementasikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Adalah ditegaskan bahawa kesemua usaha-usaha kesepakatan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak tahun 2016, telah dan sedang dilaksana oleh ATM.

“Malah ketiga-tiga negara juga telah pun menubuhkan Pusat Kawalan Maritim bagi tujuan perkongsian maklumat, risikan dan koordinasi aktiviti-aktiviti Trilateral Maritime Patrol (TMP) dan Trilateral Air Patrol (TAP) yang melibatkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan juga Angkatan Tentera Filipina.

“Kesemua kesepakatan lain yang dipersetujui bersama di bawah Trilateral Cooperation Agreement di antara ketiga-tiga negara juga telah pun dilaksanakan oleh Malaysia dan ATM,” kata kenyataan itu.

Bagi memperkukuhkan lagi keselamatan kawasan maritim di Pantai Timur Sabah khususnya, ATM memaklumkan pihak juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia.

“Agensi-agensi keselamatan itu adalah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PGM-PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang turut melaksanakan rondaan dalam perairan maritim Malaysia.

“Ini merupakan manifestasi komitmen pada Malaysia dan ATM bagi memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim melangkaui kesepakatan kerjasama yang dipersetujui ketiga-tiga negara, melalui Trilateral Cooperation Agreement.

“ATM sentiasa komited untuk memastikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina dilaksana sepenuhnya termasuk meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan dari Malaysia untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim di Laut Sulu dan Pantai Timur Sabah,” kata kenyataan itu lagi.