Malaysia Dateline

ATM, PDRM laksana sekatan jalan raya pastikan PKP dipatuhi di Kuching

Seramai 134 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 146 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam melaksanakan operasi sekatan jalan raya di Kuching bermula semalam bagi memastikan pematuhan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 sebagai langkah serius kerajaan mencegah penularan wabak Covid-19.

Penugasan secara bersama antara PDRM dengan pihak ATM tersebut melibatkan pelaksanaan operasi sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bandar dan luar bandar, membuat hebahan umum dan kawalan di pintu masuk sempadan serta lokasi tumpuan ramai seperti pasar raya dan hospital termasuk mana-mana kawasan berisiko tinggi.

Di Kuching, anggota ATM sudah mula menyertai operasi sekatan jalan raya bersama PDRM di beberapa buah lokasi seperti di Kuching-Samarahan Expressway dan Jalan Abell.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika turut serta dalam operasi sekatan jalan di laluan Kuching-Samarahan Expressway berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan turut bekerjasama dengan ATM dalam menjalankan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) dan hebahan ke sekitar kawasan di bawah pantauan IPD Kuching termasuk kawasan perumahan.

Beliau menasihati penduduk Kuching agar patuh pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan supaya dapat membantu usaha kerajaan mencegah serta mengurangkan penularan virus Covid-19.

Awang Din turut menyarankan supaya orang ramai duduk di kediaman masing-masing sahaja sekiranya tiada keperluan untuk keluar dari rumah sepanjang penguatkuasaan arahan ini berlangsung.