Atur strategi komunikasi tarik pengundi atas pagar, kata Rafizi

Atur strategi komunikasi tarik pengundi atas pagar, kata Rafizi

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mengatur strategi komunikasi dengan berkesan bagi menarik pengundi atas pagar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata strategi itu memainkan peranan penting bagi menghalang pengundi atas pagar terpedaya dengan isu-isu dibangkitkan pihak pembangkang.

“Kita perlu memberi penerangan kepada pengundi dengan lebih jelas supaya mereka tidak keliru dengan apa yang kita nak bawa,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan sempena kempen PRK itu, malam ini.

Sekiranya usaha yang dibawa kerajaan tidak dihuraikan dengan jelas, bekas Anggota Parlimen Pandan itu berkata ia membuka peluang kepada pembangkang untuk memperdaya pengundi atas pagar dengan pelbagai isu.

Justeru, beliau menyeru kepada barisan pimpinan PH agar sentiasa melahirkan idea baharu dan memperkenalkan dasar-dasar terbaik untuk kebaikan rakyat.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Dr S. Streram, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.- BERNAMA