Aturmaju meterai kontrak RM20 juta dengan YESS

Aturmaju meterai kontrak RM20 juta dengan YESS

Anak syarikat milik penuh Aturmaju Resources Bhd (ARB), ARB Development Sdn Bhd (ARBD), hari ini memuktamadkan kontrak dengan Yes’s Comm Enterprise Sdn Bhd (YESS) dengan nilai kasar barang dagangan dianggarkan RM20 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ARB menyebut, kontrak berkenaan yang sah pada asas berulang setiap tahun, membabitkan penyediaan platform pasaran oleh ARB untuk YESS menjual dan memasarkan produknya dengan berkesan.

ARB akan melaksanakan Sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan Penyelesaian Sistem Bersepadu (SIS) untuk memaksimakan jualan YESS dengan melaksanakan pengurusan inventori masa sebenar.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Aturmaju (Pelaburan dan Teknologi), Datuk Larry Liew, berkata SIS meliputi ciri-ciri seperti menjejak jualan masa sebenar, jualan masa sebenar dan inventori jualan saling menyambung; pengurusan inventori, pemilihan pelbagai dan ramalan; gudang serta pengoptimaan logistik.

“Matlamatnya adalah untuk membantu YESS memetakan pelbagai inventori dengan tepat terhadap keutamaan pelanggan dan aliran bermusim di dalam kedai/operasi YESS.

“Ini sudah tentu menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik melalui pemahaman apa yang dijual dan apa yang tidak dengan lebih baik dan pada masa sebenar,” kata Liew.

Ditubuhkan pada 1996, YESS adalah syarikat yang memberi tumpuan dalam komunikasi dan perkhidmatan mudah alih seperti suara, mesej, internet mudah alih, jalur lebar dan internet gentian.

Syarikat berkenaan diiktiraf sebagai Rakan Eksklusif Maxis sejak 2003 dan komited dalam merevolusikan belian dalam talian peralatan teknologi dan peranti telefon pintar di Malaysia.

— BERNAMA