Malaysia Dateline

Audio Khairudin bahan bukti defendan dalam kes saman MB Terengganu

Mungkin ini bukan alasannya tetapi keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memecat Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali dari AJK Pas Pusat dibuat selepas audio beliau (Khairudin) tersebar dan akan dijadikan bahan bukti di mahkamah.

Transkrip audio Khairudin itu telah diserahkan oleh Peguam Malaysia Dateline kepada peguam Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menyaman Malaysia Dateline untuk diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam pembelaan terhadap saman itu.

Khairudin juga disenaraikan sebagai saksi yang akan dipanggil oleh pihak defendan dalam perbicaraan saman itu nanti.

Samsuri telah memfailkan saman terhadap Malaysia Dateline dan editornya dan perbicaraan kes ini dijangka akan berlangsung tidak lama lagi. Kes ini telah  disebut pada 9 Januari lepas.

Peguam Dr Zulqarnain Lukman bagi pihak Malaysia Dateline telah memfailkan pembelaan dan cadangan untuk memanggil Khairudin sebagai salah seorang saksi dalam pembelaannya.

Dalam transkrip audio itu, Khairudin bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendakwa, Abdul Hadi tidak boleh dipercayai.

Selepas perdana menteri bertukar dari Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri , Khairudin telah digugurkan sebagai salah seorang menteri dari Pas.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri telah menyaman Malaysia Dateline dengan mendakwa Malaysia Dateline telah memfitnah beliau dalam satu berita bertajuk “MB Terengganu tergugat, borang akujanji berkanun kini tersebar” yang disiarkan 8 Jun 2021 lalu.

Semalam, Abdul Hadi memaklumkan kepada media, Khairudin telah dipecat sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Laporan Malaysiakini mengatakan Hadi mengesahkan perkara itu ketika ditanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Marang, Terengganu pagi semalam.

Khairudin, ahli parlimen Kuala Nerus, telah dilantik sebagai salah seorang AJK Pas Pusat selepas kalah dalam pemilihan parti itu dalam Muktamar Pas yang lalu.