Malaysia Dateline

Audio mirip Muhyiddin: PH dikhianati ‘semahunya’ oleh anggota parti sendiri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk segera menggerakkan siasatan tanpa berat sebelah ke atas individu yang dipercayai cuba menawarkan jawatan untuk membeli sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Ia susulan satu audio yang tersebar ketika ini dipercayai suara mirip dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa ahli Parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al Jundi berkata, sekiranya dakwaan audio tersebut benar, maka hakikatnya negara ini sedang ditadbir oleh sekumpulan penjenayah elit politik yang menghalalkan Rasuah VVIP.

“Kami mengecam segala usaha bagi menjadikan jawatan Menteri, Pengerusi GLC dan Agensi serta Kerusi MP sebagai ‘bahan dagangan’ untuk membeli sokongan bagi survival kuasa politik kelompok-kelompok mereka yang terlibat.

“Kami mengambil serius dengan hakikat bahawa mereka selama ini berada dalam kabinet, menerima gaji dan elaun pada setiap bulan.

“Tetapi (mereka) melakukan kerja-kerja untuk menjatuhkan kerajaan dan diyakini bersekongkol dengan pihak pembangkang sejak hari pertama bagi menggulingkan PH melalui cara paling hina, semata-mata bagi merebut posisi PM Kelapan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Aiman menyifatkan, dengan pendedahan audio terbabit, Pakatan Harapan (PH) sebenarnya ibarat dikhianati ‘semahu-mahunya’ oleh pihak tertentu yang sebahagiannya dari dalam kalangan anggota pentadbiran PH.

Dakwanya, ketika ini Perikatan Nasional telah menyalahguna kedudukan secara sewenang-wenangnya sekali gus meletakkan negara dalam keadaan yang terancam.

Namun katanya, tidak hairanlah apabila kelihatan semua yang berlaku sangat tersusun selepas PM Kelapan mengangkat sumpah.

“Kami meyakini bahawa jenayah ini adalah jauh lebih hina daripada Skandal 1MDB itu sendiri, yang kita semua sama-sama perangi menjelang PRU14 yang lepas.

“Kebencian dan penolakan rakyat terhadap regim kleptokrasi tentulah tanpa berbelah bahagi termasuk jenayah terbaharu ini sendiri.

“Kami ingin mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin agar mengambil tanggungjawab masing-masing bagi mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah kita amalkan sejak merdeka,” ujarnya.

Ujar Ketua Penerangan Pakatan Harapan itu lagi, laporan Polis dan SPRM wajar digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara bagi memastikan kuasa dan pilihan rakyat tidak sewenang-wenangnya diperdagangkan oleh kelompok elit politik.