Audio suara: MP Sepang pertikai kepakaran Khairuddin bela Nik Abduh

Audio suara: MP Sepang pertikai kepakaran Khairuddin bela Nik Abduh

Mohamed Hanipa Maidin

Kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali (gambar atas) yang cuba ‘membela’ rakan sejawatannya Nik Abduh Nik Abdul Aziz dipersoalkan Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin.

“Saya nak tanya sikit. Adakah Yb (Khairuddin) yang bela Yb (Nik Abduh) yang seorang lagi itu dia adalah seorang expert (pakar) dalam mengecam suara orang lain dalam rakaman audio?

“Bukan apa, yang saya tahu beliau bukan pakar dalam bahagian itu. Mungkin saya silap kot.Maaflah.

“Keduanya, bukankah jika kita nak tahu suara itu suara siapa individu yang di”implicated” itu sewajarnya buat laporan polis (jika belum buat lah) bagi membolehkan polis siasat dan dapatkan saksi pakar untuk mengkaji “suara misteri” dalam audio itu.

“Itulah yang saya tahu prosedurnya.Jika sudah buat laporan polis, kita tunggulah hasil siasatan polis itu. Janganlah kita,orang putih kata, “jump the gun”,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dalam satu kenyataan semalam dipetik berkata, ada ramai yang boleh meniru suara orang lain, termasuk menyerupai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Sebab itu dalam Islam, audio tidak menjadi satu inti yang kukuh (untuk dijadikan bukti) kerana ia terdedah untuk ditipu, ditiru dan sebagainya,” katanya seperti dipetik dari Malaysiakini.

Justeru Mohamed Hanipa berkata, jika Khairuddin anggap audio itu satu fitnah sewajarnya pemimpin Pas itu perlu mengambil tindakan mahkamah terhadap fitnah dilakukan oleh pihak tertentu,

“Setakat menafi rasanya tak cukup Yb.Bila disaman audio itu akan dimainkan dalam mahkamah. Penama yang dikaitkan dengan suara itu akan disoal balas oleh peguam.

“Saksi dia pun akan disoal balas juga. Oleh kerana MP (Khairuddin) yang bela ini nampaknya begitu pasti ia bukan suara MP itu , maka bolehlah penama itu sapina dia sebagai saksi pakar! Mesti lejen.

“Kata Yb itu audio bukan inti ( bukti ) yang kuat dalam Islam. Saya setuju. Tapi taklah sampai tak boleh pakai langsung.

“Dalam Islam, audio ini jatuh dalam bab “al-bayyinah” ..ia tak lah sekuat “shahadah” atau “iqrar” tapi tak lah sampai Islam tolak terus. Lihatlah kitab “turuq al hukumiyyah” karangan Imam Ibnu AlQayyim al jauziyyah ( teks kami masa belajar shariah dulu ) atau kitab “Adab Al-qadhi ” karangan Dr Karim Zaidan dalam bab “turuq al-ithbat” ( modes of adducing evidence ),” terangnya sinikal.

Sebelum ini Nik Abduh telah menafikan audio itu adalah suaranya dan menganggapnya sebagai fitnah dan mengarut pihak tertentu.

Audio berdurasi 80 saat itu melibatkan suara didakwa Nik Abduh yang mengaku menerima dana RM2 juta daripada Umno.

Ia juga melibatkan ‘pengakuan’ bagaimana Pas kononnya menerima bantuan untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak serta gerakan menjatuhkan DAP.

Audio yang tular sejak dua minggu lalu didedahkan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa.

PendedahanHusam itu bertujuan meminta supaya pimpinan Pas menyiasat kesahihan rakaman tersebut sama ada ia benar atau sebaliknya.

Husam menjelaskan beliau masih mempunyai baki rakaman audio berkenaan yang akan didedahkan satu masa nanti.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 9.5